KALENDAR kejohanan di laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ada perubahan lagi, kali ini saingain Jelajah Dunia Akhir yang dijadual berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember, dipindahkan ke Bangkok Thailand.

Pertukaran lokasi penganjuran itu, turut dilaporkan media China, Beijing Time yang memetik pemindahan lokasi itu susulan China kembali melaksanakan perintah berkurung gara-gara penularan wabak Covid-19 yang kembali mengganas di republik itu.

Sebelum ini dlaporkan Bangkok, sebagai lokasi transit untuk semua pemain dan pegawai yang akan ke saingan terbabit, kuarantin selama tiga hari bagi menjalani ujian PCR sebelum dibenarkan terbang ke China.

Kalendar kejohanan BWF mengubah venue Jelajah Dunia Akhir yagn sepatutnya berlangsung di Guangzhou, China kepada Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun dengan situasi yang semakin tidak terkawal di China, ditambah kesukaran dipihak penaja untuk memastikan peminat datang menonton saingan yang akan berlangsung, maka kejohanan tersebut terpaksa dipindahkan di Bangkok.

“Kejohanan itu bakal dipindahkan ke Nimibutr Arena di Bangkok, Thailand dan akan akan diadakan pada 7 hingga 11 Disember, seminggu lebih awal daripada jadual yang ditetapkan sebelum ini, ekoran kekosongan stadium tersebut dan beberapa perkara yang berkaitan dengan pemindahan lokasi kejohanan ini.

Kenyataan Media dikeluarkan BWF di laman web rasmi badan induk badminton dunia itu.

“BWF ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Thailand kerana sudi menjadi pengganti bagi kejohanan ini dalam tempoh yang singkat.

“Senarai penuh pemain yang layak ke kejohanan ini akan dimuktamadkan pada 22 November sejurus selepas selesai Terbuka Australia 2022,” jelas BWF dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini.

Thailand pernah menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada 2020, yang diadakan selepas Kejohanan Terbuka Thailand dan Thailand Masters ketika wabak Covid-19 melanda.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir secara automatik selepas muncul Juara Dunia Ogos lalu.

Di kem Malaysia, setakat ini enam wakil sudah pun menempah slot untuk beraksi di saingan tersebut antaranya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran), Pearly Tan-M.Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (beregu wanita).

Sandaran utama dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia juga masih berpeluang untuk ke saingan tersebut, dengan syarat perlu mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir di Terbuka Australia yang berlangsung pada minggu ini.

Hanya lapan pemain/beregu terbaik sahaja daripada setiap acara layak untuk ke kejohanan itu berdasarkan ranking Jelajah Dunia BWF.