Foto: Instagram DLCW


LEGENDA
perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memberitahu amat merindui detik kali terakhir beraksi pada Terbuka Malaysia 2018 di stadium yang sama.

“Saya bukan rindu gelanggang badminton, tetapi saya rindu penonton dan semua penyokong.

“Hari ini pun media banyak tunggu saya, saya akan cuba berikan terbaik untuk sukan badminton. Terima kasih kepada semua penyokong dan media, kita cuba promosikan sukan ini kepada generasi muda,” ujarnya kepada media di Axiata Arena pada Sabtu.

Jelas Chong Wei, beliau menyifatkan pemberian raket kepunyaannya kepada Ng Tze Yong dalam upacara gilang gemilang acara ‘Legends Vision’ adalah sebagai memori terindah dan menjadi pemangkin kepadanya untuk beraksi dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

“Saya rasa ia adalah memori indah untuk Tze Yong, dan juga untuk saya. Kasi satu ‘ong’ la kan untuk dia mengatasi tekanan dan mengharapkan keputusan yang baik di Sukan Komanwel,” kata pemenang tiga pingat perak Olimpik itu.

Beliau turut menasihat generasi Y pada zaman sekarang untuk tidak membuang masa dengan media sosial sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan, permainan dan pencapaian dalam karier masing-masing.

“Saya harap pemain muda BAM kurang menggunakan media sosial, berikan fokus hanya kepada badminton.

“Saya nampak budak-budak sekarang belum minum air dia sudah angkat telefon dahulu. Selfie dulu, sudah tulis dekat media sosial. Kurangkan media sosial, hanya fokus. Benda lain akan datang kemudian,” jelasnya.

Terdahulu, majlis tersebut disambut meriah dengan kehadiran pemain-pemain legenda badminton dari pelbagai negara seperti Lee Yong Dae (Korea Selatan), Peter Gade (Denmark), Taufik Hidayat (Indonesia), serta wakil maya dari negara tembok besar China, Lin Dan.