Ketua jurulatih Napoli, Antonio Conte sedia dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan jawatan pengendali Itali dengan presidennya, Aurelio De Laurentiis turut menyokong langkah itu.
Gennaro Gattuso meletak jawatan sebagai pengendali Azzurri pada Jumaat lalu selepas Itali gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia musim panas ini buat kali ketiga berturut-turut.
Conte pernah membimbing juara Piala Dunia empat kali itu dari 2014 hingga 2016, termasuk membawa pasukan ke Euro 2016 sebelum tersingkir menerusi penentuan penalti kepada Jerman di suku akhir.
Beliau membantu Napoli meraih Scudetto musim lalu, namun hampir meninggalkan Stadio Diego Armando Maradona pada musim panas lalu susulan konflik dengan De Laurentiis.
Gattuso meninggalkan jawatan itu 24 jam selepas Gabriele Gravina meletak jawatan sebagai presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).
“Jika Conte meminta kebenaran untuk kembali menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, saya akan katakan ya,” kata De Laurentiis kepada laman sesawang Calcionapoli24.
“Namun beliau sangat bijak, selagi belum ada presiden (FIGC), dan setakat ini memang belum ada, saya tidak fikir beliau mahu memikul tanggungjawab dalam keadaan yang tidak teratur,” katanya.
Pengendali AC Milan, Massimiliano Allegri turut dikaitkan dengan jawatan itu, namun pengganti Gattuso hanya akan diumumkan selepas mesyuarat luar biasa FIGC pada 22 Jun ini bagi memilih presiden baharu badan induk berkenaan. – AFP