JUARA bertahan, Crystal Palace tersingkir secara memalukan daripada Piala FA selepas tewas 1-2 kepada pasukan divisyen keenam, Macclesfield, dalam kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan itu.
Jurang 117 kedudukan yang memisahkan wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan Macclesfield dari Liga Kebangsaan Utara menjadi perbezaan paling besar pernah diatasi oleh pasukan bukan pilihan dalam sejarah Piala FA.
Kapten, Paul Dawson dan Isaac Buckley-Ricketts masing-masing menjaringkan gol sebelum dan selepas rehat untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah kepada Macclesfield, sebuah kelab yang terpaksa ditubuhkan semula pada 2020 selepas ‘bungkus’akibat masalah hutang.
Macclesfield juga masih bergelut dengan pemergian penyerang muda mereka, Euan McLeod, yang meninggal dunia pada usia 21 tahun kurang sebulan lalu akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas perlawanan.
Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner yang dikaitkan dengan kekosongan jawatan pengurus Manchester United membuat enam pertukaran dalam kesebelasan utama, namun masih menurunkan pemain antarabangsa England, Marc Guehi dan Adam Wharton.
Kekalahan itu menyaksikan Palace gagal meraih sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, dengan kelemahan mempertahankan situasi bola mati menjadi punca utama kemerosotan terbabit.
Macclesfield memanfaatkan sepenuhnya peluang itu apabila Dawson menanduk masuk sepakan percuma sebelum rehat.
Glasner hanya mampu berpaling dengan penuh kekecewaan menyaksikan kekalutan di depan gawang yang membawa kepada gol kedua apabila Buckley-Ricketts menolak masuk bola dari jarak dekat pada minit ke-60 selepas Palace gagal berulang kali mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. -AFP