PASUKAN Curaçao mencipta sejarah sebagai negara paling kecil pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia selepas seri tanpa jaringan menentang Jamaica pada aksi terakhir kelayakan Zon Concacaf.
Selain Curaçao, Panama dan Haiti turut mengesahkan tiket masing-masing dalam pusingan kelayakan yang penuh dramatik bagi konfederasi yang turut menampilkan tiga tuan rumah serta pasukan layak automatik — Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Negara pulau kecil di Caribbean itu hanya mempunyai 156,115 penduduk dengan keluasan 444 kilometer persegi. Namun mereka tampil cemerlang apabila muncul satu-satunya pasukan tanpa kalah dalam kempen kali ini, menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B dengan 12 mata, sekaligus melayakkan diri ke pentas terbesar bola sepak buat pertama kali
Pencapaian itu sekali gus mengatasi rekod Iceland, yang merupakan negara terkecil sebelum ini apabila layak pada 2018 dengan populasi sekitar 350,000 orang.
Curaçaoyang dibimbing bekas pengurus Liga Perdana Inggeris Dick Advocaat, melalui keseluruhan kempen kelayakan tanpa tewas termasuk kemenangan besar 7-0 ke atas Bermuda. Advocaat tidak bersama pasukan pada perlawanan menentang Jamaica atas urusan peribadi.
Jurulatih veteran itu sebelum ini pernah mengetuai pasukan kebangsaan Belanda sebanyak tiga kali serta pernah membimbing Korea Selatan, Belgium dan Rusia sebelum menerima tugas bersama Curaçao.
Dengan kejayaan bersejarah ini, Curaçao kini bersedia membuat penampilan sulung di pentas bola sepak paling berprestij dunia.