Dari padang sekolah ke pentas dunia! Itu perjalanan karier kapten skuad hoki remaja negara, Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar sekali gus membuktikan sistem pembangunan akar umbi mampu melahirkan bintang masa depan.
Menariknya, ini bukan kali pertama Danish beraksi di pentas dunia, sebaliknya penampilan di Piala Dunia Remaja kali ini ialah yang kedua selepas edisi 2023 di Kuala Lumpur. Nyata ia mencerminkan kematangan Danish hasil keberkesanan sistem pembangunan akar umbi negara yang terus melahirkan bintang masa depan hoki Malaysia.
Anak kelahiran Bagan Serai, Perak berusia 19 tahun itu tidak asing dengan dunia hoki dengan minatnya terhadap sukan ini datang sejak kecil apabila bapanya, Khairul Anuar Rozlan, 45, ialah bekas penjaga gol Maybank, menjadi inspirasi utama.
“Sejak umur lapan tahun saya dah mula main hoki. Ayah yang banyak dorong dan bagi semangat,” katanya.
Namun, bakat Danish tidak berhenti di situ. Ia terus digilap melalui program pembangunan TNB Thunderbolts, yang disertainya ketika berusia 16 tahun dan di sini segala kemahiran dan disiplin pemain muda ini benar-benar diasah.

“Cabaran paling besar bagi saya ialah untuk sentiasa beri prestasi terbaik setiap perlawanan. Dalam program TNB Thunderbolts, rata-rata senior bantu tunjuk ajar bagaimana nak kawal tekanan dan kekal fokus,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Melalui pendedahan yang diperoleh bersama TNB Thunderbolts, Danish bukan sekadar mengasah kemahiran teknikal di padang, tetapi turut membina ketahanan mental serta kepimpinan iaitu dua elemen penting yang kini menjadi tunjang dirinya selaku kapten pasukan negara.
Momen paling berharga buat Danish hadir pada 2024 apabila beliau diberi peluang menyertai pasukan TNB dalam Liga Hoki Malaysia, sebelum membantu pasukan itu merangkul treble kejuaraan pada musim tersebut.
“Pengalaman itu beri keyakinan besar kepada saya. Ia jadi sebahagian daripada perjalanan saya untuk jadi pemain yang lebih matang,” katanya.
Sebagai kapten Young Tigers, pengalaman melihat dan belajar daripada pemain senior turut membentuk pendekatan kepimpinannya dalam memastikan rakan sepasukan kekal fokus dan tenang dalam situasi kompetitif.
Dalam pada itu, di luar padang, anak muda ini memilih cara lebih santai untuk lepaskan tekanan dengan bermain permainan video bagi mengekalkan keseimbangan mental sepanjang musim.