MELETAKKAN rasa tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara, Datuk Awalan Abdul Aziz yakin dirinya mampu berbuat demikian sekiranya dipilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan yang bakal berlangsung 19 April ini.

Datuk Awalan yang kini Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia berkata, penglibatannya bukan semata-mata untuk memegang jawatan, sebaliknya berhasrat menyokong sepenuhnya visi dan misi MOM yang sedia ada.

“Saya ingin membantu merealisasikan aspirasi MOM menjadi antara Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan terbaik dunia, berbekalkan pengalaman saya dalam menerajui persekutuan dan organisasi sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya kepada Flash Sukan.

Di bawah kepimpinan beliau, Lawn Bowls Malaysia terus mencipta sejarah apabila Nor Farah Ain Abdullah muncul juara dunia acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey.

Nor Farah Ain turut melonjak ke ranking nombor satu dunia dalam sukan itu pada Mac lalu, sekali gus membuktikan potensi besar atlet Malaysia di pentas antarabangsa.

Datuk Awalan menegaskan, sekiranya diberi mandat, beliau akan bekerjasama rapat dengan Presiden MOM dan ahli jawatankuasa lain bagi memastikan tadbir urus organisasi kekal cemerlang dan progresif.

“Insya-Allah saya akan cuba menyumbang sebaik mungkin demi kelangsungan pembangunan sukan tanah air secara menyeluruh,” katanya.

Penyertaan beliau dilihat mampu memberi nafas baharu kepada landskap pentadbiran sukan negara, khususnya menjelang temasya besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia akan datang.

Bagi jawatan Timbalan Presiden MOM, Datuk Awalan akan berdepan cabaran daripada Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dalam pertembungan satu lawan satu.