SKUAD sepak takraw negara memenangi emas Sukan SEA yang cukup bersejarah, apabila menamatkan penantian 34 tahun dalam acara regu berpasukan di Nakhon Pathom.

Acara berpasukan sememangnya menjadi ‘ibu’ pingat kepada sukan sepak takraw ini menjadi lebih bermakna, apabila barisan pemain negara mengatasi musuh tradisi, Thailand di gelanggang dan di hadapan peminat mereka sendiri.

Pasukan negara diperkuat Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin, Amirul Zazwan Amir (regu 1), Syahir Rosdi, Azlan Alias, Farhan Adam (regu 2), Zulkifli Razak, Afifuddin Razali, Aidil Aiman Azwawi (regu 3) dan Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan, Zuleffendi Sumari sebagai simpanan, mempamerkan prestasi luar biasa.

Biarpun gandingan Aizat-Amirul-Haziq tunduk 9-15, 15-11, 13-15 kepada Pornthep Tinbangbon-Phutawan Sopa-Marukin Phanmakon, Syahir-Azlan-Farhan bangkit mengubah kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 17-14, 15-13 ke atas Siriwat Sakha-Thawisak Thongsai-Rachan Viphan.

Zulkifli-Afifuddin-Aidil Aiman turun menentang Sittipong Khamchan-Tanaphon Sapyen-Sirisak Anuloon tidak mengecewakan menerusi kemenangan straight set.

Set pertama dimenangi 15-13, dan kemasukan Zarif menggantikan Zulkifli pada set kedua, menambah lagi ketajaman servis sebelum Malaysia muncul pemenang menerusi kemenangan 15-11 di set kedua.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas berpasukan di Sukan SEA adalah pada 1991 di Manila, Filipina.