LEGENDA Manchester United, Denis Irwin, menyifatkan tempoh sedekad sejak pemergian Sir Alex Ferguson sebagai “sukar” untuk kelab itu, sambil menegaskan bahawa kelemahan dalam perekrutan pemain merupakan punca utama kejatuhan Red Devils.
Sejak Sir Alex mengundurkan diri pada 2013, United masih belum memenangi sebarang gelaran Liga Perdana Inggeris, walaupun sudah melalui enam pengurus tetap dan membelanjakan lebih satu bilion pound untuk pembelian pemain.
Dalam musim ini, prestasi United berada pada tahap terburuk dalam sejarah kelab, dengan enam kekalahan liga di laman sendiri daripada 12 perlawanan pertama, rekod yang hanya pernah berlaku pada musim 1893-94.

Peminat Manchester United pasti merindui era gemilang di bawah kendalian Sir Alex Ferguson | FOTO: PlanetFootball
United turut mencatatkan 10 kekalahan daripada 22 perlawanan liga setakat ini, menjadikan musim ini sebagai musim terawal mereka mencapai dua digit kekalahan sejak kempen 1989-90.
Dalam satu wawancaranya bersama Stick to Football, Irwin meluahkan pandangannya mengenai kemerosotan United sejak sedekad lalu.
“Ia adalah sepuluh tahun yang sukar sejak Sir Alex Ferguson, semua orang tahu ia akan menjadi tempoh mencabar selepas Sir Alex pergi.
“Mereka pernah ada ramai pengurus berpengalaman termasuk Ole Gunnar Solskjaer, yang nampaknya mampu membawa perubahan, tetapi harapan itu hanya sementara,” kata Irwin.
Tambahnya lagi, walaupun United berjaya memenangi beberapa trofi seperti yang pernah dilakukan Liverpool semasa tempoh sunyi mereka, mereka masih jauh daripada merebut gelaran liga dalam tempoh sedekad terakhir.

Denis Irwin adalah salah seorang pemain terbaik Manchester United di zaman era Sir Alex Ferguson | FOTO: Sporting Kansas City
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia bergantung kepada pemain dan pengurus boleh mengatur mereka, dia mungkin suka formasi 4-3-3, tetapi akhirnya ia bergantung kepada pemain.
“Anda tidak boleh kata perekrutan pemain Manchester United dalam tempoh 10 tahun terakhir adalah bagus, itu masalah terbesar,” ujar Irwin lagi.
Dalam ucapan perpisahannya di Old Trafford, Ferguson pernah meminta para penyokong agar terus berdiri teguh menyokong penggantinya dan memberikan kesabaran yang sama seperti yang pernah diberikan kepadanya.
Namun, selepas pemergiannya, United telah bergelut dengan perubahan pengurusan dan kegagalan untuk mengekalkan konsistensi di liga.
Walaupun prestasi liga mereka mengecewakan, kemenangan dramatik dalam Liga Europa ke atas Rangers pada awal Pagi Jumaat, memberi sedikit harapan kepada penyokong.
United akan berdepan Fulham dalam perlawanan seterusnya pada Isnin, dengan harapan untuk menebus kekalahan liga mereka yang memalukan musim ini dan memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong.
Dengan tekanan semakin memuncak, Red Devils perlu melakukan perubahan drastik, seperti yang diungkapkan Irwin, untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni seperti era Ferguson.