JURULATIH paling berjaya dalam sejarah bola sepak Perancis, Didier Deschamps, telah mengumumkan bahawa era kegemilangannya akan berakhir selepas Piala Dunia 2026.

Selepas sedekad lebih membimbing skuad Les Bleus, Deschamps akan meninggalkan legasi luar biasa sebagai pemain dan pengurus yang telah merangkul kejayaan tertinggi di pentas antarabangsa.

“Saya telah memberikan segalanya untuk pasukan ini, tetapi setiap perjalanan ada penghujungnya,” katanya.

Sebagai jurulatih, Deschamps bukan hanya dikenali kerana kejayaan, tetapi juga ketegasan dan kebijaksanaannya dalam mengawal bilik persalinan. Beliau mengambil alih pasukan kebangsaan Perancis pada 2012 ketika skuad itu masih dibayangi kekacauan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Dalam tempoh itu, beliau mengubah Les Bleus menjadi pasukan dominan dunia.

Kejayaan paling manis adalah membawa Perancis merangkul kejuaraan Piala Dunia 2018, sekali gus menjadikan Deschamps individu ketiga dalam sejarah yang memenangi trofi tersebut sebagai pemain dan jurulatih.

Di bawah kepimpinannya, Perancis juga mara ke final Piala Dunia 2022 sebelum tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti yang mendebarkan.

Perancis merangkul kejuaraan Piala Dunia 2018.

Sebagai pemain, Deschamps adalah simbol kestabilan dan kepimpinan. Beliau menjadi kapten termuda yang menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Olympique de Marseille pada 1993 dan sekali lagi dengan Juventus pada 1996.

Kehebatannya di tengah padang membawa Perancis memenangi Piala Dunia 1998 dan Kejuaraan Eropah 2000. Selepas persaraannya, skuad emas itu dilihat merosot, membuktikan betapa pentingnya kehadiran Deschamps dalam membentuk pasukan.

Dalam peranannya sebagai jurulatih, Deschamps tidak gentar mengambil keputusan sukar, termasuk mengetepikan pemain-pemain ternama seperti Samir Nasri dan Karim Benzema jika kehadiran mereka dianggap mengancam keharmonian pasukan.

Namun, beliau juga memberikan kepercayaan penuh kepada bintang seperti Kylian Mbappé, yang dijangka menjadi tumpuan pada “tarian terakhir” mereka bersama di Piala Dunia 2026.

Jurulatih bola sepak Perancis, Didier Deschamps.

Deschamps kini memegang rekod sebagai jurulatih paling lama dalam sejarah skuad kebangsaan Perancis dengan 165 perlawanan. Dengan Piala Dunia 2026 bakal menjadi kemuncak dan penamat kerjayanya bersama Perancis, ramai yang berharap Les Bleus akan terus mencipta sejarah dan menambah koleksi trofi di bawah kepimpinannya.

Namun, persoalan besar kini adalah: adakah Perancis mampu meneruskan legasi kejayaan ini selepas ketiadaan Deschamps, atau adakah mereka akan berdepan nasib serupa seperti selepas persaraannya sebagai pemain? Hanya masa yang akan menentukan.