KAPTEN skuad Harimau Malaya, Dion Cools mengakui pasukan kebangsaan sering gagal mendapatkan keputusan positif ketika bertemu pasukan dari Timur Tengah namun dua perlawanan di Piala Asia beri gambaran positif untuk menentang Oman pada Khamis.
Pemain Buriram United itu turut menyatakan bahawa semua pemain berada dalam keadaan yang cukup baik dan mereka positif untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Muscat.
Dion juga tidak bimbang dengan keadaan kecergasan rakan-rakan sepasukannya kerana percaya dengan sistem latihan yang diterapkan barisan kejurulatihan dan sedia untuk berjuang habis-habisan.
“Kami semua berada dalam keadaan yang baik beserta persediaan yang cukup bagus. Ini membuatkan kami semua positif dan yakin dengan pasukan dan akan berikan aksi terbaik dalam perlawanan ini.
“Dua perlawanan di Piala Asia menentang pasukan Timur Tengah, Jordan dan Bahrain memberikan kami gambaran dan satu keyakinan untuk menentang Oman kerana ianya adalah satu pengalaman yang cukup bagus buat kami.
“Walaupun liga masih belum berlangsung, namun kami perlu berikan 200 peratus dengan persediaan mental yang kuat untuk mencapai sasaran dan impian layak ke pusingan seterusnya selain sebagai persediaan untuk perlawanan di laman sendiri minggu hadapan,” katanya ketika sidang media pra perlawanan di Muscat.
Pemain kacukan Malaysia Belgium itu juga adalah satu-satunya pemain yang mempunyai kecergasan permainan ketika ini namun dia tidak melihat perkara itu sebagai isu kerana dia percaya kesemua rakan sepasukannya adalah professional dan bersedia sebaik mungkin.
“Kami semua adalah professional. Sukar untuk bezakan tahap kecergasan hanya melalui latihan tetapi saya percaya semua mereka sudah bersungguh-sungguh berlatih dan mempunyai mentaliti yang kuat untuk berikan segalanya buat Malaysia dalam dua perlawanan penting ini,” ujarnya.
Dion adalah watak penting ketika membantu Malaysia meraih kemenangan 4-3 keatas Republik Krygyz pada November 2023 dan kini sekali lagi akan mengetuai Harimau Malaya dalam perlawanan yang bakal menentukan laluan Malaysia ke peringkat seterusnya.