PEMAIN badminton wanita negara, M. Thinaah memberi fokus sepenuhnya kepada acara berpasukan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Setia City, tanpa memikirkan soal mata kelayakan Olimpik, ranking dunia dan sebagainya.
Dia yang juga kapten pasukan wanita negara, menggalas cabaran besar dalam usaha sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi lalu, yang menyaksikan pasukan negara ke separuh akhir.
“Kita (Thinaah-Pearly Tan) tidak fikirkan mata (kelayakan Olimpik), hanya nak fokus dan berikan terbaik (kejohanan ini),” kata Thinaah.
Menurutnya, setiap pemain yang dipilih untuk beraksi pada mana-mana perlawanan, perlu tampil dengan prestasi terbaik, dan menghargai peluang yang diberikan jurulatih.
“Mengenai line up… saya tak mahu letakkan tekanan selain mahu setiap pemain memberikan yang terbaik, menghargai setiap mata yang kita peroleh.
“Tiada sasaran spesifik, kita tak mahu bermain di bawah tekanan dan hanya harapkan setiap pemain mampu menampilkan yang terbaik,” ujarnya.
Menurutnya, kehadiran dua rakan sparring Indonesia (lelaki) iaitu Ade Yusuf Santoso dan Gerardo Rizqullah Hafidz banyak membantu meningkatkan prestasi dia dan Pearly, biarpun masih baru.
Pearly-Thinaah dapat rakan sparring dua bekas pemain lelaki kebangsaan Indonesia
“Semuanya berjalan lancar dan saya harap ia berterusan dengan baik.
“Lagipun mereka bekas pemain Indonesia yang baik dan bagus menjadi rakan sparring untuk kami meningkatkan kualiti permainan,” katanya.
Justeru, prestasi terkini Thinaah-Pearly bakal dapat dilihat pada saingan berpasukan ini, namun bergantung kepada percaturan jurulatih, sama ada akan menggunakan gandingan beregu asal atau pecahan baharu.
Skuad wanita akan membuka gelanggang menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pagi esok, sebelum menentang Thailand pada Khamis, bagi melengkapkan saingan Kumpulan Y.