MEDIA Sepanyol melaporkan Patrick Kluivert dan Louis van Gaal bakal bekerjasama dalam skuad kebangsaan Indonesia. Kedua-duanya dikatakan akan menggalas tanggungjawab berbeza seperti yang dirancang oleh Pasukan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI).

“Gandingan yang tidak dijangka: Kluivert dan Van Gaal di Indonesia,” tulis Marca.

Menurut laporan tersebut, Indonesia dikatakan sedang melakukan revolusi besar-besaran selepas pemecatan Shin Tae Yong dari kerusi ketua jurulatih.

“Tanpa pengumuman rasmi, revolusi pasukan Indonesia dilakukan secara menyeluruh. Pada awal pagi, pemecatan Shin Tae Yong, yang telah bertugas sejak 2019, diumumkan.

“Seperti yang dinyatakan oleh Fabrizio Romano, mereka sudah mempunyai pengganti. Patrick Kluivert, yang baru sahaja menamatkan tugasnya di Adana Demirspor, akan menjadi jurulatih baharu, manakala Louis van Gaal akan bertindak sebagai Pengarah Teknikal,” lapor Marca.

Perjumpaan semula Van Gaal dan Kluivert dianggap mengejutkan kerana kedua-duanya pernah bekerjasama sebagai jurulatih dan pemain dalam satu pasukan.

“Oleh itu, dunia bola sepak mempertemukan semula Kluivert dan Van Gaal, walaupun kali ini di tempat yang pastinya tidak mereka sangka.

“Tambahan pula, Louis van Gaal yang hampir bersara pernah melatih Patrick Kluivert dalam lebih daripada 200 perlawanan, dengan 106 gol dicatatkan. Pencapaian terbaik mereka adalah ketika bekerjasama di Ajax dan Barcelona. Mereka juga pernah bekerja bersama di Belanda,” tambah Marca.

Ketua Umum PSSI, Erick Thohir, mengakui sudah memiliki calon pengganti Shin Tae Yong. Namun, identiti jurulatih baharu tersebut hanya akan diumumkan secara rasmi kepada umum pada 12 Januari nanti.

Sementara itu, pihak pengurusan Patrick Kluivert mengesahkan terdapat tawaran untuk menjadi jurulatih Indonesia, tetapi prosesnya masih dalam peringkat rundingan.

“Kami masih dalam proses rundingan, belum ada sebarang kontrak yang ditandatangani,” ujar pihak pengurusan Kluivert kepada NOS.