JAGUH skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mempamer aksi cemerlang di Kejohanan Dunia Skuasy yang berlangsung di Kaherah, Mesir apabila melakar kejutan pertama menyingkir pemain pilihan.

Pada pusingan pertama lewat malam tadi, Eain Yow mempamerkan aksi mantap menewaskan Baptiste Masotti dari Perancis tiga set berturut-turut 11-9, 11-8, 11-5 dalam masa 40 minit.

“Saya yakin sudah menampilkan aksi cemerlang hari ini dan kekal dengan strategi permainan saya.

“Saya agak positif hari ini dan percaya dengan kemampuan saya bermain di hadapan gelanggang, mengambil peluang yang sesuai ketika pemain lawan berlarian berhampiran saya,” kata pemain yang kini menghuni tangga ke-18 dunia.

Ng Eain Yow mengatasi Baptiste Masotti (Perancis) 11-9, 11-8, 11-5.

Menurutnya, persembahan baiknya itu dibantu prestasi ketika menjuarai skuasy Terbuka Jerman di Hamburg: “Saya sedar bahawa di Hamburg adalah kejohanan yang baik buat saya.

“Di situlah saya menyedari apa kekuatan dan kelebihan saya.”

Kemenangan itu membolehkan Eain Yow mara ke pusingan kedua dan bakal berdepan Ryunosuke Tsukue dari Jepun yang mengatasi Spencer Lovejoy dari Amerika Syarikat pada11-5, 11-4, 11-7.

Selain Eain Yow, tiga lagi pemain negara Addeen Idrakie, S Sivasangari dan Aira Azman, turut mara ke pusingan kedua.

Addeen Idrakie (duduk hadapan) ketika menunggu giliran beraksi ditemani pemain negara, Aifa, Aira Azman dan pegawai pasukan.

Addeen bertarung selama 87 minit untuk mendapatkan tempat di pusingan kedua selepas menewaskan pemain tuan rumah, Karim El Hammamy 11-6, 9-11, 8-11, 11-4, 11-9.

Namun lawannya di pusingan kedua adalah ‘gergasi’ dari Mesir, Tarek Momen.

Sementara itu, Sivasangari yang diletakkan selaku pilihan ke-14, melepasi pusingan pertama dengan cemerlang apabila hanya beraksi selama 19 minit ketika menundukkan pemain Latvia, Ineta Hopton 11-6, 11-8, 11-8.

Begitupun, dia masih belum berpuas hati dengan prestasinya dalam perlawanan itu.

“Ya saya menang 3-0 tetapi saya jangkakan prestasi lebih baik.

“Ineta seorang pemain yang sangat berbakat, memiliki kemahiran menggunakan raket, sukar untuk mendapatkan rentak sendiri ketika menentangnya.

S Sivasangari mendengar taklimat perancangan strategi dari jurulatih kebangsaan, Andrew Cross.

“Saya rasa, saya tidak dapt menemui sudut yang saya gemari, perlawanan berjalan tidak seperti yang saya mahukan,” kata Sivasangari.

Bagaimanapun, pemain yang menghuni ranking ke-13 dunia itu tetap bersyukur melepasi pusingan pertama dan mendapat perlawanan pemanas badan yang baik.

“Saya akan fokus satu persatu perlawanan. Ini adalah Kejohanan Dunia  dan semua pemain sangat bagus.

“Kini masa untuk saya fokus kepada perlawanan pusingan keduadan saya mahu bermain lebih baik dari hari ini, fokus kepada strategi permainan saya tanpa fokus kepada lawan.”

Antara aksi ketika S Sivasangari menewaskan Ineta Hopton (Latvia) 11-6, 11-8, 11-8.

Aira Azman mara ke pusingan kedua, Kejohanan Dunia selepas mengatasi Lowri Roberts dari Wales 11-8, 11-8, 10-12, 14-12.

Di pusingan kedua esok, Sivasangari akan menentang pemain Amerika Syarikat (AS) Caroline Fouts, yang mara dengan menewaskan Nicole Bunyan dari Kanada, 11-9, 11-3, 6-11, 11-4.

Turut cemerlang, naib juara remaja dunia, Aira Azman yang melepasi pusingan pertama dengan kemenangan 3-1 ke atas lawan dari Wales, Lowri Roberts.

Aira beraksi selama 35 minit, memenangi perlawanan 11-8, 11-8, 10-12, 14-12.

Aira yang berada diranking ke-37 dunia, perlu mempersiapkan fizikal dan mental kerana dijadual menentang pemain nombor enam dunia, Gina Kennedy dari England di pusingan kedua.

Kakak Aira, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ainaa Amani Ampandi bagaimanapun terkandas di pusingan pertama.