PINGAT emas Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun, Mei hadapan amat penting buat Abdul Latif Romly, dalam misi memburu kejuaraan ketiga berturut-turut di pentas Sukan Paralimpik.

Pemilik rekod dunia acara lompat jauh para T20 (masalah pembelajaran) itu berkata, pingat emas pada Kejohanan Dunia Kobe, 17 hingga 25 Mei itu boleh menjadi pemangkin semangat dan prestasinya untuk memburu emas di Temasya Paralimpik Paris 2024, September hadapan.

“Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun adalah pentas terbesar utuk saya tahun ini, untuk saya menilai prestasi sebelum ke Paris pada September.

“Saya sasarkan untuk melakukan lompatan sekitar  7.5 meter (m) atau lebih 7.6m. Jika dapat cipta jarak ini an dapat pula pingat emas, mesti saya sangat yakin di Paris nanti,” kata Abdul Latif yang kini 90 peratus pulih dari kecederaan pangkal paha.

Abdul Latif Romly berkeyakinan tinggi mampu mencapai tahap kecergasan terbaiknya menjelang Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun Mei hadapan, dan Paralimpik Paris pada September.

Jaguh lompat jauh negara itu, mengalami kecederaan ketika mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia Paris, tahun lalu, yang menyaksikannya meraih pingat emas keempatnya di kejohanan terbabit.

Selepas melakukan lompatan sejauh 7.19m pada lompatan pertama dan 7.40m pada lompatan kedua, anak jati Perlis itu mengalami kecederaan pangkal paha ketika melakukan lompatan ketiga, namun masih gagal dipintas atlet lain.

Kini, dia menetapkan sasaran untuk meraih pingat emas kelimanya di Kejohanan Dunia.

“Ketika ini saya masih cuba mendapatkan balik otot-otot yang hilang, kerana sepanjang pemulihan, saya kehilangan kira-kira 2 kilogram otot.

“Jurulatih gimnasium beritahu sempat untuk saya membentuk semula otot-otot itu untuk Kejohanan Dunia dan juga Paralimpik Paris,” ujar Abdul Latif yang mahu terus memperbaiki teknik lompatan sebelum ke Paris.

Abdul Latif Romly sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor ISN. | FOTO Agency

Menurutnya, di Kobe nanti, sudah tentu pesaing terkuatnya adalah atlet Kanada, Noah Vucsics dan Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla dalam kategori T20.

“Setakat ini pesaing saya dari Kanada ada rekod terbaik 7.35m dan Colombia 7.22m.

“Di Kejohanan Dunia kali ini saya rasa persaingan sangat hebat dan jarak lompatan kami agak rapat, jadi bagus untuk saya memburu rekod dunia baharu tahun ini,” kata pemilik rekod dunia pada jarak 7.64m yagn dilakukannya di Temasya Para Asia di Indonesia 2018.

Untuk rekod, Abdul Latif memenangi pingat emas Sukan Olimpik T20 di Rio, Brazil 2016 dan Tokyo, Jepun 2020.

Dia juga memenangi pingat emas di empat Kejohanan Dunia iaitu pada eidisi 2015 (Doha), 2017 (London), 2019 (Dubai) dan 2023 di Paris.