SEJAK awal penubuhan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), pemiliknya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sering menyatakan bahawa impian beliau mahu melihat skuad Harimau Selatan bermain di Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Tunku Isma]il merasakan dengan penyertaan dalam ACL, JDT akan lebih dipandang di Asia dan menjadi medan pendedahan buat para pemain tempatan untuk pergi lebih jauh dalam karier mereka.
Sejak 2016, JDT berjaya layak ke peringkat kelayakan ke ACL bertemu wakil Thailand Muangthong United, Bangkok Glass dan Bangkok United sebelum berjaya bertemu Gamba Osaka pada 2017 tetapi gagal ke peringkat kumpulan.
Akhirnya impian TMJ untuk menyaksikan JDT beraksi di ACL mula menunjukkan hasil pada 2018 apabila Malaysia berjaya memperolehi slot automatik ke peringkat kumpulan hasil kutipan mata Members Association (MA) yang tinggi dalam ranking kelab Asia.
Tahun 2019 menyaksikan JDT muncul kelab pertama Malaysia bertanding di ACL dan ketika itu walaupun dikira budak baharu tetapi status sebagai juara Piala AFC 2015 memberikan sedikit rasa gentar buat pasukan lawan.
Bermula sebagai pasukan kerdil, musim 2022 kini menyaksikan JDT sudah pun bertanding dalam ACL untuk empat musim berturut-turut dan kini mereka bukanlah lagi ‘New Kids On The Block’.
Dari empat musim yang disertai, JDT berjaya mencatat kemenangan terutama ketika beraksi di laman sendiri. Tahun 2019 menyaksikan JDT mencatat kemenangan sulung dalam ACL apabila menewaskan juara bertahan ketika itu, Kashima Antlers 1-0 di Larkin.
Momentum kemenangan itu menjadi titik tolak keyakinan pemain JDT bahawa mereka sebenarnya mampu bersaing dengan kelab-kelab ternama Asia dan pada 2020, wakil Korea Selatan, Suwon Bluewings pula menjadi mangsa Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.
Tahun 2021 adalah tahun yang sukar buat bola sepak Asia ekoran penularan pandemik Covid-19 dan venue berpusat diwujudkan bagi memastikan semua perlawanan kumpulan dapat dilangsungkan secara gelembung sukan.
JDT beraksi di Bangkok dan sekali lagi berjaya memenangi perlawanan dalam penampilan ketiga ACL apabila menundukkan wakil tuan rumah Ratchaburi FC 1-0 walaupun dilihat sangat bergelut menghadapi kempen.
Tahun 2022 menyaksikan format venue berpusat masih diterapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan tambah manis, Johor Bahru dipilih sebagai tuan rumah untuk mengendalikan semua perlawanan Kumpulan I di dua stadium milik JDT.
JDT tidak mensiakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekali lagi mencatat kemenangan dalam penampilan keempat berturut-turut di ACL apabila membelasah Guangzhou FC 5-0.
Walaupun masih di peringkat awal dan masih belum bertemu gergasi Korea Selatan dan juga Jepun, tetapi JDT telah membuktikan kehadiran mereka di ACL tidak boleh dipandang enteng.
Para pemain dilihat bersemangat dan percaya mereka mampu melakar kejutan untuk layak ke peringkat 16 terbaik sekaligus muncul kelab pertama Malaysia melakukannya.