KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Esteban Solari memuji pemain kendaliannya kerana mengekalkan ketenangan dan bermain dengan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan.

Kawalan bola yang baik turut membantu pasukan kendaliannya mengekalkan rekod kemenangan keenam berturut-turut pada aksi Liga Super musim ini.

“Saya memuji pemain saya kerana mereka bermain secara solid dan sangat berdisiplin. Mereka menunjukkan sikap yang positif dan tenang untuk memenangi perlawanan pada malam ini.

“Mereka mengawal bola dengan sangat baik dan inilah yang diperlukan pasukan yang sering dahagakan kemenangan,”jelasnya.

Menyedari ramai pemain JDT yang baru pulang dari tugas mereka bersama skuad kebangsaan, Esteban nyata gembira kerana skuad bimbingannya mampu membezakan corak permainan Harimau Malaya dan ketika bersama Harimau Selatan.

“Saya sedar permainan baru pulang dari kem kebangsaan. Mereka menyedari idea berbeza ketika bersama skuad kebangsaan dan ketika bermain bersama JDT. Kita banyak berhijrah ke negara luar tetapi itulah lumrah dalam bola sepak,” ulasnya.

Mengulas kemasukan Syahmi Safari dan Corbin Ong yang dilihat memberi impak walaupun jelas Syahmi masih kurang minit permainan, jurulatih dari Sepanyol itu mengagumi nilai tambah yang diaplikasikan pemain tersebut di dalam padang.

“Syahmi beri kita sedikit kelebihan. Corbin juga beri kita sedikit kelebihan untuk bermain dengan pasukan ini. Jadi kita sangat perlukan kelibat mereka bersama pasukan,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap Johor Darul Ta’zim berada pada kelas tersendiri dan mempunyai keupayaan berlainan berbanding pasukan kendaliannya.

Justeru, beliau menyifatkan anak buahnya perlu belajar dan kembali bangkit dari kekalahan pertama yang mereka alami dalam persembahan Liga Super musim ini.

“JDT merupakan satu pasukan yang berada pada landasan yang berlainan. Jadi kita harus belajar dan saya harap pemain dapat bangkit semula. Kita harus bangkit jika ingin bersaing. Ini merupakan kekalahan pertama saya musim ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menambah punca kekalahan pasukan adalah disebabkan Sabah FC gagal mengimbangi perlawanan dengan baik menyebabkan mereka dihukum bertubi-tubi oleh JDT.

Dua gol awal jelas mengubah rentak permainan The Rhinos apabila pasukannya dilihat gagal mengawal bola lebih lama daripada sebelum dibolosi.

“Kita tidak dapat rentak permainan dari awal lagi. Kita juga tidak mengawal permainan dengan baik. Apabila kita memberi ruang kita dihukum.

“Apabila kita dibolosi gol pertama, kita terus dihukum dengan gol kedua dan ia menyukarkan kita kembali bersaing pada hari ini,” katanya.

Mengulas insiden kontroversi gol pertama yang dilihat seakan-akan Forestieri berada pada kedudukan ofsaid, beliau enggan memberi sebarang komen namun hanya meminta jasa baik pegawai bertugas untuk melihat semula ulangan video hantaran bola kepada Forestieri.

Di samping itu, beliau menyatakan bukan hanya pasukan Sabah FC perlu memperbaiki permainan sebaliknya pegawai perlawanan juga harus meneliti sesuatu insiden itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya sudah digantung, kalau saya cakap ini saya kena gantung lagi. Jadi saya nasihatkan pada pegawai perlawanan untuk saksikan semula insiden tersebut. Kalau saya komen tak tahu berapa lagi saya kena hukum. Bukan sahaja pasukan saya perlu perbaiki, tetapi keputusan pegawai perlu diteliti,” ujarnya.