PERSATUAN Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) menjadikan perlawanan menentang Malaysia sebagai kesinambungan daripada perlawanan menentang Laos pada Mac untuk kembali memberikan perlawanan kompetitif kepada para pemain.

Berdepan kekangan sekatan Covid-19 di Brunei, liga tempatan tidak dapat dijalankan dan ianya menjejaskan kualiti skuad kebangsaan dan mereka hanya dapat berlatih tanpa perlawanan persahabatan.

Menurut Setiausaha Agung NFABD Mohammad Shahnon Haji Mohd Salleh, pihak beliau akan kembali menganjurkan kembali Piala FA Brunei bermula Jun kerana menerusi pertandingan ini kelab mereka akan mendapat slot automatik ke kelayakan Piala AFC.

“Kami akan mengadakan semula pertandingan Piala FA kerana ianya akan memberikan kami tiket ke Piala AFC dan perlawanan menentang Malaysia ini akan digunakan sebagai medan pelajaran buat pasukan Brunei yang sudah lama tidak mempunyai perlawanan persahabatan yang kompetitif.

“We have nothing to lose but everything to gain dari perlawanan ini dan Malaysia seharusnya lebih tertekan jika mereka tidak mampu beraksi cemerlang menentang Brunei, kata beliau dalam satu temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Jelasnya lagi, skuad Brunei juga akan mengambil segala pengajaran dan pelajaran apabila berhadapan Malaysia dan menganggap Harimau Malaya yang sebenarnya berada dalam tekanan kerana beraksi di laman sendiri setelah hampir dua setengah tahun.

Delegasi dari NFABD yang diketuai Presiden, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan berada di Malaysia dalam rangka lawatan ke Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Foto: Brunei Darussalam

Selain itu mereka juga mahu banyak belajar dengan kelab-kelab di Malaysia tentang pembangunan fasiliti dan kewangan dengan menganggap sejarah lama antara Brunei dan Malaysia perlu dipelihara.

“Brunei dan Malaysia mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi. Kita adalah serumpun dan apabila FAM menjemput kami untuk bermain, kami berbesar hati dan terus bersetuju untuk menghantar pasukan ke sini.

“Pemain-pemain Brunei juga boleh belajar banyak perkara dari pemain-pemain Malaysia kerana faktor makanan, cara hidup, agama dan bahasa antara kedua-dua negara ini adalah sama dan tidak jauh berbeza,” tambahnya.