PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah mengeluarkan surat pertuduhan kepada pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam insiden pergaduhan ketika aksi Piala Belia antara Melaka FA dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Ahad.

Surat pertuduhan itu dikeluarkan kepada pemain yang terbabit serta pegawai pasukan Melaka dan Sri Pahang pada Isnin dan FAM sama sekali tidak menerima isu keganasan dalam bola sepak terutama apabila melibatkan pemain muda.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi FLASH SUKAN selepas pihaknya menerima laporan lengkap insiden itu dari pegawai pertandingan.

“Kita sudah keluarkan surat pertuduhan kepada pemain itu serta pegawai pasukan Melaka dan Pahang yang mana kita tidak boleh menerima perlakuan begini di peringkat pertandingan Piala Belia.

Noor Azman Rahman

“Pemain itu akan diberikan surat pertuduhan kerana beraksi ganas dan di luar kawalan manakala dua pegawai pasukan itu diberikan surat kerana melakukan tindakan provokasi yang mengundang insiden itu menjadi lebih buruk,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video aksi ‘kungfu’ dan ‘flying kick’ membabitkan pemain kedua-dua yang bermula dengan aksi tolak menolak antara beberapa pemain di tepi padang.

Bagaimanapun, situasi bertambah tegang apabila semakin ramai pemain yang turut serta sambil cuba ditenangkan barisan kejurulatihan yang mahu menghentikan pergaduhan sebelum seorang pemain Sri Pahang kelihatan menerajang seorang pemain Melaka sehingga terjatuh.

Insiden pada minit ke-41 itu menyaksikan pemain simpanan Sri Pahang, Adam Syaqir Barzu dilayangkan kad merah manakala seorang lagi pemain Sri Pahang dan Melaka, Nur Aiman Syahmi serta Amran Shah Anuar turut dilayangkan kad kuning.

Perlawanan berlangsung seperti biasa selepas itu dengan keputusan memihak Sri Pahang 2-1 namun ianya menjadi perhatian penyokong bola sepak tanah air ekoran insiden pergaduhan itu.