GESAAN supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meletak jawatan rentetan isu surat layang baru-baru ini adalah satu tindakan yang kurang wajar dan bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk bola sepak Malaysia.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee berkata, dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa Datuk Hamidin gagal menambah baik landskap bola sepak Malaysia sejak menerajui FAM pada 2018 adalah tidak berasas dan tidak berdasarkan fakta.

“Pihak yang menyuruh Datuk Hamidin letak jawatan itu mungkin lupa atau sebenarnya tak tahu yang ranking skuad Harimau Malaya ketika Datuk Hamidin mula menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 ialah di tangga 171 dunia dan ia berjaya diperbaiki dengan cukup baik sehingga kita berjaya mencapai ranking terbaik iaitu 130 dunia pada tahun lalu. Ini satu kejayaan.

Kim Swee bagi pihak PJBM menyokong kepimpinan Datuk Hamidin di FAM

“Di zaman Datuk Hamidin ini juga kita dapat melihat pasukan kebangsaan kita mula mampu kembali mencabar pasukan-pasukan di ranking lebih baik, antaranya Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan India, selain berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 43 tahun dan mampu untuk mengikat gergasi Asia, Republik Korea 3-3.

“Semua ini memerlukan masa untuk kita meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Jadi untuk mengatakan Datuk Hamidin tidak buat apa-apa untuk bola sepak Malaysia di sepanjang enam tahun ini, adalah satu tanggapan yang sama sekali tidak tepat.

“Malah bagi saya, FAM masih memerlukan Datuk Hamidin sebagai presiden,” kata Kim Swee yang pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2016 hingga 2017.

Kim Swee yang juga bekas Pengarah Teknikal FAM yang kini merupakan ketua jurulatih Sabah FC turut berpendapat bahawa jawatan Ahli Majlis FIFA yang dimenangi Datuk Hamidin pada 1 Februari 2023 juga memainkan peranan cukup penting untuk beliau terus memegang jawatan Presiden FAM.

“Apa jadi kalau Datuk Hamidin letak jawatan sebagai Presiden FAM sekarang? Sudah tentu, satu kerugian besar buat bola sepak Malaysia kerana Datuk Hamidin memegang kerusi Ahli Majlis FIFA itu untuk tempoh satu penggal sehingga 2027. Apa guna kita ada beliau masih sebagai Ahli Majlis FIFA tetapi FAM pula diterajui individu lain yang tiada pengaruh di peringkat FIFA mahupun AFC?

“Lagipun kita boleh lihat, hubungan baik beliau dengan pemimpin bola sepak antarabangsa memudahkan kita untuk mendapat bantuan terutama dari segi penjimatan perbelanjaan pasukan-pasukan kebangsaan apabila berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara.

Hamidin juga mempunyai pengaruh yang kuat di Fifa

“Hubungan baik Datuk Hamidin dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) dan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) contohnya telah menjimatkan jutaan ringgit apabila saya difahamkan bahawa pihak SAFF dan QFA yang membantu membiayai kos ketika pasukan kita berada di negara berkenaan.

“Malah, kredibiliti Datuk Hamidin juga membolehkan kita mendapat jurulatih asing yang berkaliber bagi membimbing pasukan-pasukan kebangsaan kita seperti Kim Pan Gon (bola sepak), Soleen Al Zoubi (wanita) dan Rakphol Sainetngam (futsal). Satu lagi kejayaan atau sumbangan besar beliau untuk FAM,” jelas Kim Swee.

Selain itu, dakwaan bahawa FAM dan Datuk Hamidin gagal meningkatkan tahap Liga Malaysia termasuk mengaitkan beliau dengan isu tunggakan gaji pemain yang masih melanda di negara ini, Kim Swee berkata, perkara tersebut tidak boleh dituding jari ke arah Datuk Hamidin semata-mata.

“Untuk mengatakan Datuk Hamidin dan FAM gagal dalam kedua-dua aspek ini adalah tidak tepat kerana FAM kini bukan lagi badan yang mengendalikan Liga Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu dan masalah gaji pula, itu sebenarnya perlu ditujukan kepada pengurusan kelab terlibat dan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab,” tegas Kim Swee.