Select Page

FC Barcelona kuasai tontonan di TikTok, Al Nassr masuk senarai buat pertama kali

FC Barcelona kuasai tontonan di TikTok, Al Nassr masuk senarai buat pertama kali

 

KUASA dan pengaruh dari aplikasi TikTok bukan sahaja terhad kepada dunia hiburan dan pempengaruh tetapi kini juga melanda industri bola sepak dunia dengan kesemua pasukan dilihat aktif dalam penghasilan kandungan untuk meraih minat para pengikut di laman sosial.

Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh penganalisa data analitik Deportes & Finanzas, TikTok kini menjadi trend utama kelab-kelab bola sepak dunia untuk memberikan maklumat kepada para penyokong dan semakin mendapat tempat dengan angka tontonan yang luar biasa.

Berdasarkan ranking untuk bulan Januari 2023, FC Barcelona mendahului senarai dengan 284 juta tontonan di TikTok mengatasi pasukan yang mempunyai juara Piala Dunia, Paris Saint Germain yang mempunyai 267 juta tontonan.

Liga paling popular di dunia, Liga Perdana Inggeris pula hanya mempunyai dua wakil dalam 10 teratas dengan Manchester City di tempat keenam dengan 183 juta tontonan manakala Manchester United pula di tangga ke-10 dengan 106 juta tontonan sepanjang Januari.

Apa yang menarik, pelaburan kelab yang berpangkalan di Riyadh, Al-Nassr membawa Cristiano Ronaldo membuahkan hasil apabila bintang Portugal itu berjaya meletakkan kelab itu pertama kali dalam senarai ini di tangga ketujuh dengan 166 juta tontonan hanya sebulan selepas dia diumumkan sebagai pemain.

Dua kelab Serie A, Juventus dan Roma masing-masing di ranking ketiga dan keempat dengan 249 juta dan 205 juta tontonan manakala finalis Piala Dunia Kelab, Real Madrid pula kelima dengan 191 juta tontonan.

Melengkapkan ranking 10 terbaik ini adalah gergasi Jerman, Bayern Munich ditempat kelapan dengan 136 juta tontonan sementara juara Liga Russia, Zenit St Petersburg pula ditangga kesembilan dengan 123 juta.

Sosial media kini menjadi lubuk pendapatan buat kelab-kelab bola sepak dengan pelbagai kandungan yang menarik mampu dikhususkan buat penaja untuk meletakkan produk atau servis mereka seiring dengan pelan pemasaran yang telah ditetapkan.

Kelab juga boleh menjual barangan cenderahati dengan lebih mudah dan berkesan berdasarkan data yang diperolehi menurut algorithma media sosial sekaligus membantu meningkatkan nilai komersil kelab.

Video Terkini

Loading...