KOMENTAR oleh MOHD FARIQ
TANGGAL 30 April 2022 menjadi tarikh keramat buat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi fenomena baharu dalam sejarah bola sepak negara.
Semalam (Sabtu) skuad Harimau Selatan tampil dalam kelas tersendiri apabila menempah ke slot pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sekali gus menjadi juara mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan, seri sekali dan tewas sekali sepanjang ‘bertarung’ dalam enam perlawanan.
Dan sekarang, JDT adalah pasukan terbaik yang dimiliki oleh bola sepak Malaysia. Muktamad, tidak perlu dipertikaikan lagi fakta itu.!
Masakan tidak, rekod demi rekod telah dileburkan oleh mereka dan kejayaan melepasi peringkat kumpulan ACL menjadi satu lagi penanda aras yang cukup besar buat juara bertahan Liga Super lapan kali berturut-turut ini selepas memenangi Piala AFC pada tahun 2015 dan sekarang, layak ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL.
Sekarang kredit harus diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas projek jangka masa panjang, visi dan misi serta kebijaksanaan baginda kini meletakkan skuad Harimau Selatan di dalam peta bola sepak Asia dan dunia.
Apa yang pasti, kejayaan semalam bukan sahaja ditumpang oleh penyokong setia JDT tetapi seluruh peminat tempatan turut berkongsi kegembiraan apabila menyaksikan pencapaian hebat Harimau Selatan dalam pentas ACL pada tahun ini.
JDT PAKAR PEMECAH REKOD BOLA SEPAK TEMPATAN
Mungkin ramai orang lupa dengan kesulitan yang ditempuhi oleh Tunku Ismail menjadi pemilik JDT pada tahun pertama baginda.
Kejayaan dikecapi oleh skuad Harimau Selatan sekarang ini bukanlah tercipta dalam satu malam sahaja.
Namun Tunku Ismail pantas belajar agar tidak mengulangi kesilapan dan sentiasa memastikan JDT bergerak dalam landasan global, bukannya semata-mata mahu menjadi jaguh domestik sahaja.
Inilah yang membezakan Tunku Ismail dengan orang lain di mana baginda memanipulasikan kesulitan itu bertukar menjadi titik kebangkitan skuad Harimau Selatan.
Sebenarnya apa mesej tersirat yang disampaikan oleh Tunku Ismail adalah progresif sesebuah kelab bola sepak sepatutnya bergerak seiring dengan pembangunan fasiliti.
Inilah yang membezakan JDT dengan kelab-kelab lain di mana visi dan misi Tunku Ismail sentiasa meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelas tersendiri sebagaimana baginda sentiasa menitikberatkan fasiliti-fasiliti terbaik bertaraf dunia buat barisan pemain dan pegawai.
Ini kerana dalam resepi membentuk pemain terbaik di mana proses itu juga memerlukan kepakaran di mana baginda memastikan kemudahan fasiliti ini menjadi yang pertama di Asia Tenggara iaitu Pusat Medikal dan Kecergasan JDT dengan menempatkan para doktor dan pakar fisioterapis sepenuh masa.
Sekali lagi penulis melihat Tunku Ismail menggunakan magis dengan memaksa JDT keluar dari ‘kepompong’ dunia bola sepak Malaysia yang sebelum ini kebanyakan lebih menumpukan baikpulih stadium, padang atau pemburuan pemain import semata-mata.
HATERS PUN BERSORAK UNTUK JDT
Jika penulis amati berbaki 10 minit terakhir perlawanan JDT menentang Ulsan Hyundai, boleh dikatakan hampir kesemua penyokong seluruh negara sedang bersorak untuk kelab Liga Malaysia ini.
Lebih membuatkan rasa meremang timbul, ‘haters-haters’ JDT selama ini pun datang memberikan sokongan penuh kepada skuad Harimau Selatan dan berbangga dengan pencapaian mereka yang melepasi peringkat kumpulan AC.
Inilah kuasa bola sepak di mana mungkin antara kita semua ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya kita bersatu demi kejayaan negara.

Penyokong-penyokong setia JDT hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan dengan gaya istimewa, berbaju Melayu.
JDT sentiasa menjadi contoh yang terbaik untuk kita sentiasa belajar sesuatu yang baharu.
Bukan senang jadi juara lapan kali berturut-turut Liga Super, bukan senang menjadi juara Piala AFC dan bukan senang untuk melepasi peringkat kumpulan ACL.
Tunku, anda memang genius!