DIKHABARKAN Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal menutup operasi pejabatnya di Kuala Lumpur dan Singapura menjelang hujung Ogos ini, sebelum secara rasmi memulakan operasi dari ibu pejabat baharu di Indonesia bermula 1 September 2025.

Langkah ini menyaksikan semua kakitangan dari pejabat pembangunan FIFA di Kuala Lumpur dan pejabat komersial di Singapura akan dipindahkan ke Indonesia, menjadikan republik itu sebagai pusat operasi serantau baharu FIFA di Asia Tenggara.

Keputusan strategik ini dipercayai didorong oleh sokongan kuat kerajaan Indonesia dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), yang bukan sahaja menawarkan lebih banyak insentif cukai, malah turut menyediakan pelbagai kemudahan dan kelebihan berbanding lokasi sedia ada.

Perpindahan ini juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan Indonesia yang semakin menyerlah dalam kancah bola sepak antarabangsa. Negara itu kini menjadi tumpuan FIFA selepas kejayaan menganjurkan beberapa kejohanan besar dan kesediaannya memperkukuh struktur bola sepak domestik secara menyeluruh.

Walaupun langkah ini mungkin memberi kesan kepada struktur operasi serantau FIFA yang selama ini berpusat di Malaysia dan Singapura, ia juga membuka peluang baharu bagi perkembangan bola sepak di rantau ini – dengan Indonesia kini tampil sebagai hab utama bola sepak ASEAN.

Dengan pelancaran pejabat baharu itu September ini, semua mata kini tertumpu ke Jakarta sebagai pusat tumpuan baharu bagi inisiatif pembangunan dan komersial FIFA di Asia Tenggara.