BAHANG perlawanan akhir kedua Challenge Cup semakin terasa apabila kedua-dua pasukan, PDRM FC dan Kuching City FC akan bertemu sekali lagi di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad untuk menentukan juara musim ini.

Sang Saka Biru yang selesa mendahului 3-0 selepas kemenangan pada aksi final pertama di Kelana Jaya pada Rabu bagaimanapun tidak mahu dibuai keadaan selesa sebaliknya mahu terus beraksi seperti biasa untuk meraih kejuaraan pertama mereka.

The Cats juga meskipun ketinggalan jauh namun mereka tidak mahu mengalah kerana apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak dan akan cuba untuk bangkit di hadapan penyokong sendiri.

Pengendali PDRM FC, Datuk Yunos Alif ketika ditemui ketika sesi sidang media pra perlawanan di Kuching berkata masih ada 90 minit perlawanan dan akan bermain seperti biasa untuk menyerap asakan Kuching City.

“Masih ada 90 minit lagi perlawanan dan kami hanya fokus kepada diri kami dengan bermain seperti biasa dan perlu menyerap asakan Kuching City yang dijangka akan turun secara ‘all out’ kerana mereka ingin merapatkan kedudukan,” katanya.

Sementara itu pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak pula berharap mereka berjaya menterbalikkan kedudukan ini selain mengharapkan tuah dan mahu berikan segala-segalanya dalam perlawanan akhir ini.

“Kami telah mengenalpasti masalah yang dihadapi dan berharap perkara akan berubah memihak kepada kami kerana saya percaya bola sepak adalah segalanya tentang kerja keras selain memerlukan tuah untuk menang perlawanan ini,” jelasnya dalam sidang media yang sama.

PDRM FC dilihat selesa untuk menjulang Challenge Cup tetapi mampukah Kuching City bangkit dan merampas kejuaraan dalam satu perlawanan akhir yang dijangka menarik untuk disaksikan.