KEJAYAAN layak ke Piala Dunia buat kali kesembilan dan ketiga berturut-turut adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan buat skuad hoki kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, skuad negara berjaya layak ke final Piala Asia yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta dengan Korea Selatan menjadi halangan terakhir untuk Malaysia bergelar juara.

Ini adalah pertemuan ketiga Speedy Tigers menentang Korea Selatan dalam kejohanan ini. Pada pertemuan pertama peringkat kumpulan, Malaysia menang 5-4 sebelum seri 2-2 pada peringkat Super Four dan kini berentap untuk bergelar jagoan Asia.

 

Selepas sentiasa mendapatkan gol menerusi pukulan sudut penalti, perlawanan menentang Jepun semalam membuktikan pemain negara mampu menjaringkan gol padang dan ini pastinya memberikan kelebihan buat skuad negara.

Benteng pertahanan juga mendapat tonik terbaik apabila berjaya mencatat ‘clean sheets’ kedua selepas melakukannya pada perlawanan pertama ketika menentang Oman.

Malaysia pastinya akan tampil dengan corak permainan pantas namun perlu berhati-hati dengan serangan balas Korea Selatan yang dilihat sangat berbahaya selain mengelakkan memberikan lawan pukulan sudut penalti.

Malaysia akan mencatat rekod muncul juara Piala Asia buat kali pertama sekiranya berjaya memenangi perlawanan akhir ini dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah di tempat kedua pada 2017.

Selain mencipta sejarah bergelar juara, skuad negara mampu melakar dua kejayaan baharu iaitu tidak tewas sepanjang kejohanan ini dan bakal menduduki tangga kelapan dalam ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (IHF).

Empat kejayaan dalam kejohanan bukanlah perkara kecil dan mudah untuk dilakukan. Kredit dan pujian harus diberikan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan skuad hoki kebangsaan. Kini hanya 60 minit menjadi pemisah.