BEKAS kapten skuad Penyu, Zulharisham Awang, menitipkan amanat penting buat barisan pemain Terengganu FC (TFC) menjelang final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Zulharisham, kini menjengah usia 48 tahun, adalah ketua pasukan skuad generasi emas Terengganu yang kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 2001 di bawah bimbingan Mat Zan Mat Aris.

Menurutnya, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner mempunyai peluang sama rata dengan JDT bagi merebut trofi berprestij itu meskipun pasukan lawan turun selaku gergasi bertaraf Asia.

“Tidak dinafikan JDT memiliki skuad yang lengkap dengan kualiti pemain di semua posisi namun TFC tidak boleh menjadikannya alasan untuk mengibar bendera putih sebelum masuk ke padang.

“Dalam bola sepak tiada apa yang mustahil, JDT ada 11 pemain dan Terengganu juga ada 11 pemain. Malah, pencapaian melangkah ke final membuktikan TFC juga ada kualiti tersendiri.

“Pemain-pemain harus terus berjuang selagi wisel penamat belum ditiupkan dan contohi semangat 22 tahun lalu ketika kami bangkit dari ketinggalan sebelum muncul juara,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Zulharisham ialah tonggak benteng Terengganu pada 2001 bersama-sama Abdul Ghani Malek, Rosdi Talib dan Subri Sulong selain penjaga gol legenda, Zubir Ibrahim.

Mereka menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 2-1 hasil jaringan Wan Rohaimi Wan Ismail dan Sapian Wahid meskipun Rafdi Rashid terlebih dahulu meletakkan Perak di depan.

Menurut Zulharisham, Steinbruckner perlu memastikan ayam tambatan, Ivan Mamut dan Sony Norde berada pada prestasi terbaik untuk menjadi penggerak jentera serangan TFC.

“Selain itu, penjaga gol juga perlu yakin menghadapi ketajaman penyerang JDT yang pasti turun memburu gol awal,” katanya yang kini bergelar jurulatih skuad bola sepak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).