PENGENDALI PSM Makassar, Bernardo Tavares bingung dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang memilih Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Final Zon Asean Piala AFC dan bukannya dilangsungkan di bandar yang lain.

Tavares juga bimbang pasukannya akan mendapat layanan tidak adil terutama dari pengadil kerana perlawanan menentang Kuala Lumpur berlangsung di bandar yang menempatkan Ibu Pejabat AFC.

Dia juga mengakui tidak mempunyai apa apa masalah dengan AFC, namun segala kemungkinan boleh terjadi yang mampu mempengaruhi keputusan perlawanan dan hanya mahukan aksi yang bersih buat kedua-dua pasukan.

“Kami gembira untuk beraksi di pentas Piala AFC tetapi pengadil kebiasaannya tidak akan melakukan kesilapan untuk pasukan tuan rumah. Mengapa aksi ini berlangsung di Kuala Lumpur sedangkan ia boleh dilangsungkan di tempat lain?

“Kami mahu berikan yang terbaik tetapi kalau saya mengadili perlawanan di sini yang juga adalah Ibu Pejabat AFC, jika saya ingin menghukum, tentu saya akan jatuhkan hukuman ke atas PSM Makassar.

“Oleh itu saya harap perlawanan esok akan menjadi satu aksi 11 lawan 11 iaitu PSM Makassar menentang KL City FC kerana saya tidak mahu kita seperti menentang dua pasukan dan maafkan saya kerana berkata begini.

“Apa sahaja keputusannya nanti, kami tidak mahu bantuan daripada pengadil buat kedua-dua pasukan. Saya mahukan perlawanan yang adil dan seandainya kami kalah, saya akan rasa berpuas hati dengan para pemain yang sudah memberikan segalanya dan bukannya tewas kerana menentang dua pasukan,” katanya pada sidang media pra perlawanan.

Wakil PSM Makassar di sidang media

Tavares juga memerlukan solusi terbaik untuk memilih kesebelasan utama selepas dua pemainnya digantung ekoran kad merah pada aksi separuh akhir menentang Kedah Darul Aman FC di Bali.

“Kami perlu mencari jalan dan menyusun benteng pertahanan yang baru. Ini adalah peluang untuk pemain yang bakal diturunkan. Satu atau mungkin dua pemain baharu akan mendapar peluang bermain di Piala AFC dan berharap mereka dapat memberikan aksi yang menarik.

“Ini adalah perlawanan yang besar buat saya buat PSM Makassar, buat Indonesia dan juga buat para penyokong kami. Kesemua pemain harus bermain dengan gembira dan baik atas kesempatan ini kerana ini adalah semangat buat mereka,” tambah Tavares lagi.

PSM Makassar hadir kali kedua ke Cheras selepas bermain pada peringkat Kumpulan H Jun lalu yang menyaksikan mereka muncul juara kumpulan dan mencatat keputusan seri 0-0 ketika menentang Kuala Lumpur City FC.