MUHAMMAD Fiross Mohd Faizal akhirnya berjaya mengesahkan tempat ke Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun (B-20) di Lima, Peru Ogos depan, selepas sekali lagi melepasi masa kelayakan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Filipina.
Muhammad Fiross, menamatkan larian dalam acara 110 meter (m) berpagar dengan catatan 13.82 saat (s) sekali gus melepasi had kelayakan 14.20s.
Pencapaiannya itu menjadikan dia sebagai atlet keempat negara layak beraksi di Lima.
Ironinya, catatan Muhammad Fiross di Filipina jauh lebih pantas berbanding masa dicatatnya 14.15s, ketika beraksi di Siri Super 1 Terbuka Johor, yang menyaksikannya melepasi had kelayakan namun gagal ke Lima selepas kejohanan di Johor itu gagal mendapat pengiktirafan Olahraga Dunia (WA).
Kepantasan lariannya itu membolehkan dia mencapai kejayaan berganda, apabila berjaya meraih pingat emas dengan menewaskan wakil tuan rumah Pacifico Tolentini (15.25s) dan Sean Harry Narag (15.45s).
Pada usia 17 tahun, Muhammad Fiross dilihat berpotensi menghampiri rekod kebangsaan 110m berpagar yang dipegang Rayzam Shah Wan Sofian iaitu 13.67s yang dilakukan pada Mei 2017.
Malah tidak mustahil dia mampu membaharui rekod Sukan Sea yang dipegang pelari Thailand, Jamras Rittidet, 13.69 pada Temasya di Singapura, 2015.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, atlet muda negara yang lain masih boleh memburu tempat ke Peru kerana tempoh kelayakan masih berbaki empat minggu.
“Kita sudah ada empat wakil ke Peru, tapi atlet lain masih ada peluang. Ada tiga lagi kejohanan dalam negara dan kita sudah mendapat pengiktirafan daripada WA iaitu Siri Super Terbuka Perak, Pahang dan Terbuka Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, tiga atlet remaja mengesahkan tempat ke Peru menerusi Kejohanan Remaja Asia B-20 di Dubai, UAE.
Mereka terdiri daripada Ng Tak Sing dalam lompat kijang, Pengiran Aidil Auf Hajam (200m) dan Hanssen Yap Soon Fu (100m).