KELAB Barcelona terus menyalakan impian treble musim ini apabila keputusan berani Hansi Flick untuk merehatkan beberapa tonggak utama membuahkan hasil dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Mallorca, awal pagi tadi.

Gol tunggal Dani Olmo di separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan tiga mata penting, sekali gus meletakkan Barca kekal di puncak LaLiga dengan 76 mata — tujuh mata di hadapan Real Madrid yang masih berbaki satu perlawanan.

Dalam usaha mengurus beban perlawanan yang padat menjelang pertembungan El Clasico di final Copa del Rey hujung minggu ini, Flick mengambil risiko dengan merehatkan pemain utama seperti Jules Kounde, Raphinha, Pau Cubarsi dan Frenkie de Jong.

Hansi Flick :Gettyimages

Namun, percaturan itu terbukti menjadi apabila skuad ‘kedua’ Barcelona tampil solid dan mencipta banyak peluang untuk menggandakan jaringan.

“Penjaga gol Mallorca, Leo Roman, memang luar biasa. Kita kena beri kredit kepada cara mereka bertahan.

“Tapi kemenangan ini tetap penting. Kami main lebih baik dan buat kurang kesilapan berbanding sebelum ini,” kata Flick kepada media selepas perlawanan.

Ketiadaan penyerang utama, Robert Lewandowski yang bakal diketepikan selama beberapa minggu akibat kecederaan otot kaki, nyata tidak menjejaskan rentak pasukan.

Barcelona kini bersedia berdepan Real Madrid di Seville dalam aksi final Copa del Rey pada Sabtu ini, diikuti pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan minggu hadapan.

Menurut Flick, tumpuan kini adalah untuk menewaskan Real Madrid dalam dua lagi perlawanan penting – final Copa del Rey dan aksi LaLiga pada 11 Mei – yang boleh menjadi penentu kejuaraan.

“Barça dan Real Madrid adalah dua pasukan terbaik. Memang normal kalau kejuaraan ditentukan antara kami.

“Tapi kami mahu menang kedua-duanya – piala dan liga. Untuk itu, kami kena fokus dan terus berjuang,” tegasnya.

Dengan moral yang tinggi dan momentum yang terus menyala, Barcelona kini berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah treble musim ini. Tapi segala-galanya bermula dengan langkah berani — dan Hansi Flick telah membuktikan dia tidak takut untuk berjudi demi kemenangan.