PENYERANG skuad Harimau Malaya, Paulo Josue tetap optimis mengenai masa depan bola sepak Malaysia biarpun kemaraan di pentas Piala Asia 2023 telah berakhir.

Jelas pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu berkata, kegagalan pada penampilan pertama sejak layak secara merit selepas 43 tahun tidak perlu diratapi begitu lama.

“Kami mempunyai staf kejurulatihan yang hebat yang menganalisis segala-galanya. Semua orang perlu bertanggungjawab dan belajar daripada ini.

“Kami mesti teruskan kerana kami akan mempunyai peluang untuk layak ke Piala Asia akan datang,” kata Josue, 34, yang telah mengumpul 11 kaps dan menjaringkan empat gol.

Pada perlawanan menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad tempoh hari, Josue diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Kim Pan-gon sebagai penyerang tunggal.

Malaysia beraksi lebih bagus berbanding ketika diaibkan 0-4 Jordan semasa pertembungan pembukaan Kumpulan E.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan kita. Malaysia bersaing dalam Piala Asia selepas 17 tahun, dan ia sukar.

“Kami akan mengambil bahagian lagi pada masa hadapan akan memperoleh lebih banyak pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kejohanan itu.

“Selepas itu barulah kami boleh mengharapkan peningkatan,” ujarnya.

Malaysia yang berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang kutipan mata akan melengkapkan jadual perlawanan di Doha bertemu bekas juara dua kali, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.