GIRONA perlu mengekalkan mentaliti yang kukuh di LaLiga selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara, kata jurulatih Michel menjelang pertemuan Ahad malam esok menentang Rayo Vallecano.
Pasukan bimbingan Michel menyaksikan harapan tipis mereka untuk ke peringkat playoff Liga Juara-Juara berakhir apabila tewas 1-0 kepada AC Milan di San Siro dalam kempen debut yang mengecewakan.
Sebelum menjadi tuan rumah kepada Arsenal dalam perlawanan terakhir Eropah mereka musim ini pada Rabu, Michel menggesa pasukannya untuk terus fokus di LaLiga.
“Perkara paling penting ialah bagaimana seorang pemain pulih, terutamanya pemain muda. Bermain di San Siro merupakan pengalaman yang penuh euforia, tetapi kemudian akan ada kejatuhan, dan ia perlu bersifat sementara.
“Di Rayo Vallecano, kami perlu mempunyai mentaliti yang terbaik, jika tidak, mereka akan menguasai kami.
“Ada satu lagi perlawanan Liga Juara-Juara yang perlu kami nikmati dan menggembirakan peminat. Selepas Arsenal, kami akan berbincang dengan para pemain mengenai dinamik yang akan kami ambil selepas itu. Liga adalah objektif paling penting bagi kami,” kata Michel dalam satu sidang media.
🚨📊 Champions League table after Matchday 7! pic.twitter.com/J1OXXeAqSk
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 22, 2025
Girona kini di tempat kelapan dalam LaLiga dengan 28 mata, hanya dua mata di belakang tempat kelayakan Eropah, manakala Rayo di tempat kesembilan dengan 26 mata.
Ketika pasukan Catalonia ini berusaha untuk layak ke pertandingan Eropah buat kali kedua berturut-turut, Michel mengakui pasukannya perlu kekal kukuh dalam saingan yang sengit ini.
“Rayo seperti kami. Saya beritahu pemain bahawa kami mempunyai skuad untuk berjuang ke Eropah, tetapi kami perlu mengutip mata supaya kelab menjadi kuat,” kata jurulatih Sepanyol itu.
Sebagai pengendali Girona, Michel mempunyai rekod yang baik menentang Rayo Vallecano, dengan enam perlawanan tanpa kalah selepas hanya satu kekalahan.
Namun, Michel berkata, lawatan ke Stadium Vallecas memberikannya perasaan bercampur-baur kerana ia adalah tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.
“Ini adalah perlawanan yang saya tidak mahu mainkan, saya langsung tidak menyukainya. Tiba di kampung halaman membuatkan saya gembira, tetapi saya tidak menyukainya.
“Statistik adalah seperti apa adanya, tetapi ia tidak penting,” katanya.