PASANGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin, terus mencipta sejarah dalam dunia badminton apabila berjaya menduduki ranking No.2 dunia buat pertama kali dalam karier mereka sebagai gandingan.

Kedudukan ini merupakan pencapaian tertinggi mereka sejak mula berpasangan, sekaligus melonjakkan status mereka di pentas antarabangsa.

Pengumuman terkini daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan mereka merampas kedudukan No.2 dunia daripada pasangan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang, yang sebelum ini memegang kedudukan tersebut sejak 17 Disember 2024.

Wei Keng dan Wang Chang, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, kini turun ke tangga ketiga dunia, hanya ketinggalan 98 mata di belakang Sze Fei-Izzuddin.

Keputusan ini dibuat selepas BWF mengemaskini mata terkumpul untuk tempoh 52 minggu, di mana Sze Fei-Izzuddin berjaya mengumpul sebanyak 85,916 mata daripada 10 kejohanan terbaik yang mereka sertai.

Dalam pada itu, pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, turut mencatat peningkatan dalam ranking dunia apabila kini berada di kedudukan kelima, naik satu anak tangga berbanding minggu sebelumnya.

Beregu negara lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Haikal Muhammad, dan Arif Junaidi-Yap Roy King kekal konsisten di tangga ke-14, ke-21, dan ke-23 dunia masing-masing. Namun, bekas beregu No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, terpaksa berundur tiga anak tangga ke kedudukan ke-27 dunia dalam kemaskini terbaru ini.

Pencapaian luar biasa Sze Fei-Izzuddin bukan sahaja mengangkat nama Malaysia dalam arena badminton dunia tetapi juga menjadi motivasi kepada pemain beregu lelaki lain untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

Fokus kini pastinya terarah kepada bagaimana pasangan ini mampu mengekalkan konsistensi dan memburu takhta No.1 dunia dalam masa terdekat.