JARINGAN pemain gantian, Adil Boulbina pada masa tambahan memastikan Algeria menewaskan Republik Demokratik Congo 1-0 pada aksi pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi tadi.
Perlawanan di Stadium Prince Moulay El Hassan itu tampak menuju penentuan sepakan penalti apabila Boulbina, yang beraksi bersama kelab di Qatar, meluru di sebelah kiri pada minit ke-119 sebelum mara ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan.
Detik magis itu mencetuskan sorakan gemuruh di stadium dengan majoriti daripada 18,837 penyokong yang hadir memberikan sokongan padu kepada Algeria.
Juara 2019 yang memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan kini dilihat sebagai pencabar serius untuk menjulang gelaran benua buat kali ketiga dan akan berdepan ujian getir menentang Nigeria diketuai penyerang prolifik Victor Osimhen pada aksi suku akhir di Marrakesh, Sabtu ini.
Boulbina muncul wira tidak diduga apabila hanya membuat penampilan kedua sebagai pemain gantian pada kejohanan itu selepas disenaraikan dalam skuad susulan aksi bersama Algeria pada Piala Arab di Qatar, baru-baru ini.
“Saya sentiasa bermimpi untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Ia adalah cita-cita setiap rakyat Algeria untuk bermain dan memberikan yang terbaik demi negara,” kata Boulbina yang tidak dapat menahan air mata selepas perlawanan.
“Saya mendapat peluang, menjaringkan gol dan perkara paling penting adalah kami menang serta layak ke pusingan seterusnya.”
Kekalahan itu pastinya menyakitkan buat DR Congo yang hadir ke AFCON dengan sasaran besar dan berharap dapat mengulangi pertemuan dengan Nigeria selepas menyingkirkan Super Eagles menerusi penentuan penalti pada aksi kelayakan Piala Dunia, November lalu.
The Leopards sekurang-kurangnya masih boleh berbangga dengan peluang beraksi pada play-off antara benua Mac ini, yang mana kemenangan ke atas New Caledonia atau Jamaica akan melayakkan mereka ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1974.
“Kami jelas kecewa dengan keputusan ini. Saya fikir ia adalah perlawanan bertaraf tinggi antara dua pasukan yang sangat baik,” kata ketua jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre.
“Pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami berjuang hingga ke penghujung, tetapi malangnya ia tidak mencukupi.” – AFP
Sumber Gambar: AFP