PEMAIN pertahanan skuad kebangsaan Indonesia, Kevin Diks, berjaya menjaringkan gol sekali gus membantu FC Copenhagen mara ke pusingan 16 Liga Konferensi Europa selepas menewaskan FC Heidenheim di Stadium Voith-Arena, Heidenheim, awal pagi Jumaat.

Selepas tewas 1-2 dalam perlawanan pertama di laman sendiri, Copenhagen wajib meraih kemenangan dengan kelebihan lebih daripada satu gol ketika beraksi di tempat lawan.

Kevin Diks, yang terlepas aksi pertama akibat penggantungan kad kuning, kembali menjadi sandaran utama Copenhagen dengan beraksi di posisi bek kanan. Pemain berusia 28 tahun itu beraksi sepanjang perlawanan.

Diks turut menyumbang satu gol buat Copenhagen menerusi kepakarannya dalam sepakan penalti. Dia dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti ke penjuru kanan gawang pada minit ke-53.

Dua lagi gol Copenhagen dijaringkan oleh Amin Chiakha dan Rodrigo Huescas, memastikan kemenangan 3-1 selepas masa tambahan.

Kelab dari Denmark itu berjaya mara ke pusingan 16 Liga Konferensi Europa dengan agregat 4-3 ke atas Heidenheim. Di pusingan seterusnya, Copenhagen bakal berdepan sama ada Vitoria de Guimaraes atau Chelsea.