SELURUH penyokong setia Sang Kenari diseru memenuhi kapasiti 25,000 tempat duduk Stadium Darul Aman bagi aksi genting Liga Super 2023 bertemu Selangor FC pada Sabtu.

Perlawanan termasyhur ini adalah detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat daripada dekat pasukan kendalian Nafuzi Zain membuat perhitungan bagi menentukan pasukan mana yang akan menamatkan cabaran selaku naib juara Liga Super.

Pengasas Green Yellow Supporter Club (GYSC), Jusnaidi Johaari, 46, turut menyokong hasrat dan seruan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang meminta agar penyokong hadir pada perlawanan itu nanti.

“Ia bukan sahaja sebagai perlawanan home terakhir musim ini malah ia ibarat final penentuan kelayakan untuk KDA FC ke Asia musim depan. Apa-apa pun ini bola sepak. Tiada yang mustahil.

“Penyokong adalah segalanya. Inilah masanya aura lautan hijau kuning dikembalikan. Buang sikap perbezaan pendapat antara penyokong dan kembali bersatu demi negeri dan sukan bola sepak,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 2 people and text

Anak jati Alor Setar itu mengakui berbangga menjadi salah seorang dari penyokong KDA FC kerana baginya, Kedah adalah salah satu negeri yang memiliki penyokong berbeza cara sokongan jika dibandingkan negeri lain.

“Ramai ikon-ikon penyokong yang menjadi idola penyokong lain. Ia bukan untuk dibangga tetapi sebagai penarik minat penyokong lain untuk terus menyokong.

“Sekali lagi saya pinta, selaku Presiden GYSC merayu pada semua yang berkelapangan agar lapangkan masa hadir. 25,000 bukan perkara sukar pada penyokong Kedah.

“Ayuh kita sahut cabaran ini demi kemajuan hijau kuning,” katanya lagi.

KDA kini mengumpul 53 mata perlu menang untuk memintas skuad Red Giants kendalian Tan Cheng Hoe yang hanya memiliki kelebihan dua mata untuk naik ke tangga kedua liga.

Sementara itu, pihak KDA FC akan menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan setiap penyokong Kedah dan Selangor mengangkat bendera itu di Stadium Darul Aman.

“Sorakan padu anda, kibaran bendera anda akan mencetus gelombang berita bukan sahaja di Alor Setar, bahkan seluruh Malaysia dan dunia. Jadilah sebahagian dari sejarah penyatuan kita menyokong kebebasan Palestin Sabtu ini.

“Seluruh Stadium melakukan ‘Viking Clap’ sebelum sepak mula diketuai Ultras Kedah,” menurut kenyataan berkenaan.