TUNKU Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim terpaksa akur dengan pencapaian di tempat ke-10 hari ini, selepas hasratnya untuk meraih kedudukan di podium telah tersasar pada perlumbaan pertama Fanatec GT World Challenge Asia.

Namun begitu, kejuaraan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ini juga telah menempatkan pasukan JMR di kedudukan tempat ketujuh bagi kategori Pro-Am yang berlangsung hari ini (Sabtu).

Tidak dinafikan, pacuan yang begitu memukau pada awal perlumbaan telah dipamerkan oleh Tunku Abu Bakar namun sayangnya, mungkin oleh kerana keadaan cuaca yang tidak serasi dengan pemanduan pelumba telah menidakkan pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) meraih podium pada hari ini.

Pasukan JMR gagal capai sasaran untuk duduki podium.

“Seperti kita lihat, perlumbaan yang berlangsung pada hari ini agak mencabar, terutamanya kerana trek menjadi lembap sepanjang masa saya berlumba.

“Bagaimanapun, saya harus menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan walaupun itu perkara yang sukar. Jadi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai hasil yang terbaik untuk perlumbaan seterusnya,” ujar pelumba utama pasukan JMR.

Tunku Abu Bakar yang mencatatkan masa selama 1:02:42.390 saat telah digandingkan bersama pelumba dari Australia, Jordan Love yang sebenarnya optimis dapat mengintai kedudukan terbaik di perlumbaan pertama ini.

Tunku Abu Bakar gambarkan keadaan cuaca yang menjadi cabaran besar hari ini.

Triple Eight JMR akan meneruskan perjuangan pada perlumbaan kedua esok, sekali gus mencuri peluang untuk merampas semula podium terbaik yang berjaya diraih pada Kejuaraan GT World Challenge musim lalu.

Sebagai rekod, pasukan JMR sebelum ini pernah menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam perlumbaan GT World Challenge Asia tahun 2023.

Namun ketika itu, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman merupakan tunjang utama yang mengetuai pasukan JMR dalam saingan tersebut, dan tahun ini, Tunku Abu Bakar pula yang menggalas peranan tersebut.