KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu para pemainnya meneruskan cara bermain bola sepak yang sama apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk aksi Liga Super menentang Kelantan FC pada Jumaat.
Meskipun sedar bahawa lawan yang bakal ditemui kini berada di tangga terbawah liga, Solari tidak memandang rendah keupayaan lawan sebaliknya hanya fokus kepada pasukannya untuk memberikan satu perlawanan bola sepak yang menarik.
Pengendali dari Argentina itu juga tidak risau untuk beraksi di padang jenis ‘cow grass’ di Kota Bharu kerana padanya jika idea untuk bermain bola sepak itu sama, ianya boleh dimainkan di mana sahaja tanpa memikirkan keadaan padang.
“Kami perlu teruskan aksi yang baik untuk mendapatkan tiga mata di tempat lawan dan ianya ialah dengan bermain corak permainan yang sama iaitu untuk bermain bola sepak menyerang dengan intensiti yang tinggi.
“Selain itu, kami juga tidak risau beraksi di rumput ‘cow grass’ kerana ianya bukan baru buat dan kami pernah bermain dalam perlawanan seperti ini. Kami juga boleh menyesuaikan diri kerana kami juga mempunyai satu padang yang sama di pusat latihan kami.
“Apa yang penting adalah fikiran kami perlu dalam keadaan lapang dan terus bermain dengan corak serangan yang berterusan kerana apabila anda bermain bola sepak yang baik, keputusan akan memihak kepada anda,” katanya menjelang aksi pada Jumaat.
Ditanya adakah Safawi adalah sebahagian daripada pelan dan perancangannya, Solari menjelaskan dia sudah memberitahu kepada Safawi apa yang dia inginkan dan dia perlu merebut kembali tempatnya dalam kesebelasan utama.
“Safawi perlu kembali ke prestasi sebenarnya tetapi dia perlukan lebih banyak masa permainan tetapi dia tahu apa yang saya mahukan darinya. Dia juga perlu gunakan peluang yang ada apabila diberi peluang bermain untuk meningkatkan keyakinan dirinya,” jelasnya.
Safawi kembali ke JDT selepas melengkapkan tempoh pinjamannya ke Ratchaburi FC dan mungkin akan digunakan Solari sebagai senjata sulit untuk memerangkap Kelantan.