KAPTEN Maghribi Achraf Hakimi dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Afrika pada Rabu selepas melalui musim cemerlang bersama Paris Saint-Germain (PSG), termasuk membantu kelab itu menjulang trofi UEFA Champions League.
Pemain berusia 27 tahun itu turut meraih gelaran Ligue 1 buat kali keempat, selain memenangi Piala Perancis dan Piala Super UEFA. Namun, PSG terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada final Piala Dunia Kelab di New York.
Hakimi mengetepikan dua bekas pemenang, penyerang Mesir Mohamed Salah dan penyerang Nigeria Victor Osimhen, untuk meraih anugerah berprestij itu buat pertama kali dalam kariernya.
“Ini benar-benar satu penghormatan buat saya berada di sini hari ini dan saya bangga memenangi trofi yang begitu berprestij.”
“Trofi ini bukan hanya untuk saya. Ia untuk semua lelaki dan wanita hebat di Afrika yang mempunyai impian, serta mereka yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak,” kata Hakimi sebelum merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan sepasukan serta jurulatih Maghribi Walid Regragui.
Hakimi kini sedang menjalani rawatan akibat kecederaan buku lali yang serius, namun dijangka kembali memperkuat Maghribi selaku tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika bermula 21 Disember. Maghribi memburu gelaran pertama sejak 1976.
Dalam kategori wanita, pemain Maghribi Ghizlane Chebbak dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik Afrika selepas mengetepikan rakan senegara Sanaa Mssoudy dan pemain Nigeria Rasheedat Ajibade. Penyerang Al Hilal itu muncul penjaring terbanyak Piala Negara-Negara Afrika Wanita tahun ini walaupun pasukannya tewas pada aksi final.
Majlis penganugerahan itu turut menyaksikan Maghribi mendominasi beberapa kategori lain, termasuk Yassine Bounou sebagai Penjaga Gol Lelaki Terbaik dan skuad B-20 sebagai Pasukan Kebangsaan Lelaki Terbaik. Pemain Watford berusia 20 tahun Othmane Maamma menerima anugerah Pemain Muda Lelaki Terbaik manakala Doha El Madani mengekalkan gelaran Pemain Muda Wanita Terbaik.
Ketua jurulatih Cape Verde Bubista pula menerima gelaran Jurulatih Lelaki Terbaik selepas membawa negara berpopulasi 525,000 itu ke Piala Dunia 2026.
Penjaga gol Nigeria Chiamaka Nnadozie mengekalkan gelaran Penjaga Gol Wanita Terbaik buat kali ketiga berturut-turut.