KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bakal merangka program kesedaran dalam kalangan syarikat korporat, dalam usaha kementerian terbabit menguar-uarkan bagaimana insentif pengecualian cukai 10 peratus oleh kerajaan boleh dimanfaatkan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, program terbabit hanya akan dirangka selepas Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika ini dibahas di Parlimen, mendapat kelulusan.

“Saya harap insentif pengecualian cukai ini, jika diluluskan, kita akan perkasakan melalui program kesedaran kepada pihak korporat, kita bantu mereka untuk mengetahui bagaimana pihak penganjur boleh membuat tuntutan menerusi insentif cukai dan geran padanan supaya, semua pihak tahu cara memanfaatkan insentif ini,” kata Hannah, selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2023, di Kota Damansara.

Pada pembentangan Bajet 2023 lalu, selain insentif pengecualian cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat akan diberi kepada individu mahupun syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan pembangunan sukan akar umbi.

Perdana Menteri turut mengumumkan geran padanan RM50 juta, bagi mendorong penajaan sektor swasta dalam sektor sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan termasuk penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.

Selain itu, pada pembentangan Bajet lalu, RM20 juta juga diperuntukkan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum dengan keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan pembabitan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.

Sementara itu, Hannah memuji Daikin sebagai penaja dan Pioneer Sports Management sebagai penganjur Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin, iaitu sebuah kejohanan bawah umur yang berjaya menarik 1,500 penyertaan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada penganjur kerana kita dapat lihat sumbangan mereka dalam pembangunan sukan akar umbi seperti ini sangat penting,” kata Hannah.