KEMENTERIAN Belia dan Sukan mahu pastikan infrastruktur berkaitan sukan di negara ini boleh diakses pelbagai golongan masyarakat dengan mudah.
Menterinya, Hanna Yeoh berkata, pembangunan sukan di peringkat akar umbi memerlukan infrastruktur yang mudah diakses.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bertemu ibu bapa pemain skuasy yang mengambil bahagian di Kejohanan Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat di peringkat akar umbi.
“Sebab itu, pada masa sekarang saya menjelajah bertemu pihak berkepentingan sukan bertanyakan kos, kos penganjuran sukan dan pelbagai.
“KBS mahu menilai semula semua infrastruktur sukan yang ada di negara ini, sama ada kanak-kanak biasa boleh akses atau tidak.

Hannah menjawab soalan yang diajukan wartawan.
“Mungkin ada jaguh skuasy dalam negara kita datang dari kampung yang tiada infrastruktur,” kata Hannah.
Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Kuala Lumpur ke-14.
Katanya, sukan adalah sebuah ekosistem dan membangunkannya perlu dilakukan secara menyeluruh.
Tambah Hannah, cabaran dihadapi KBS ketika ini berbeza berbanding dahulu.

Hannah mendengar taklimat daripada penganjur Kejohanan Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur.
“Dulu kita berdepan cabaran mencari bakat dalam kalangan remaja dan belia, tetapi sekarang, belia mencari akses yg lebih mudah dan cepat. Contohnya selepas remaja pulang dari sekolah, mereka terus mendapatkan iPad, iPhone (gajet) untuk mereka bermain. Kita berdepan cabaran baru dan memerlukan strategi baru,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan mengumpul maklumbalas daripada persatuan sukan, atlet dan bekas atlet sehingga akhir Disember ini sebelum membuat dasar baru kementeriannya.