MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak bimbang dengan perkembangan terkini mengenai tahap kesihatan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana yakin doktor yang memantau serta pasukan dari Institut Sukan Negara (ISN) melakukan kerja yang baik.

Menurut beliau, walaupun The Pocket Rocketman terpaksa menarik diri daripada perlawanan penentuan pingat gangsa acara pecut di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) hujung minggu lalu, beliau yakin perkara itu diikut rapat pasukan perubatannya.

Datuk Azizulhasni Awang memenangi pingat emas keirin Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) biarpun ketika mengambil ubat perikarditis.| Foto John Beasley

“Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley juga sentiasa mengemaskini perkembangan semasa Azizulhasni, jadi mereka sentiasa mengikut nasihat pakar atau doktor yang sentiasa bersamanya,” kata Hannah, pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama F&N Beverages di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Beliau menegaskan, insiden sedemikian bukan perkara yang mahu dihadapi semua orang, termasuk Azizulhasni.

“Walaupun dia berdepan keadaan seperti itu, dia masih mampu muncul juara. Jadi kita harus terus bagi sokongan dan jangan risau mengenai tahap kesihatannya kerana semua ada termasuk pasukan perubatan di sekelilingnya,” kata Hannah.

Selepas menjalani pembedahan jantung pada 2022, Datuk Azizulhasni Awang kini berdepan komplikasi pada saluran jantungnya dan terpaksa mengambil ubat perikarditis.

Sabtu lalu, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum terkandas di separuh akhir acara pecut individu, sehari kemudian yang menyaksikan dia menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa.

Sebelum ini, Beasley berkongsi bahawa penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas pelumba pecut negara itu, terpaksa mengambil ubat perikarditis bagi membantu masalah berkaitan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

F&N Beverages terus menjadi rakan kongsi sukan yang kuat dan menyumbang kepada perkembangan sukan tanah air.

Masalah itu diyakini susulan pembedahan jantung terbuka pada April 2022, kerana arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta berada pada posisi janggal (AAORCA).

Dalam pada itu, Hannah gembira dengan tajaan daripada F&N Beverages kepada MSN bernilai RM4 juta untuk tempoh lima tahun sehingga 2028.

“Harapnya ini bukan perjanjian pertama dan terakhir. Kita perlu mewujudkan modul ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak dan F&N Beverages juga sudah pasti ingin memperkenalkan produk mereka melalui acara sukan,” katanya.