BUKAN lagi menyeluk pekasam sampai ke pangkal lengan, jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui dia berusaha sehingga masuk ke dalam tempayan untuk mendapatkan ‘pekasam’ itu.

Begitulah bayangan yang digambarkan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu yang menegaskan misinya ke Sukan Olimpik Paris 2024, memburu kilauan emas.

Menurutnya, segala aspek yang berada dalam kawalannya sudah dilakukan termasuk pada Temasya Tokyo 2020, namun di tahap saingan tertinggi seperti Olimpik, faktor di luar kawalan seperti berlaku dalam final keirin (Olimpik 2020) sukar diramal.

Datuk Azizulhasni Awang mengakui sentiasa memberi komitmen melebihi 100 peratus bagi mencapai matlamatnya meneruskan kerier dalam sukan berbasikal.

Terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman, dia menegaskan bahawa tiada lagi warna lain selain emas dalam fikirannya dan nekad membawa kejayaan itu ke Malaysia.

Pemilik pingat perak Olimpik Tokyo, Jepun (2020) dan pingat gangsa Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016 itu, mahu menggenggam emas sebelum mengumumkan persaraan.

“Semua orang tahu kenapa saya berada di sini, kalau tidak saya tidak akan berada di sini kalau semata-mata untuk bertanding. Macam saya beritahu, saya tidak akan membuang masa saya kerana seperti yang saya cakap, untuk berada pada tahap tertinggi banyak perkara yang kita perlu korbankan.

“Bagi saya sendiri, saya mempunyai sasaran peribadi dan sudah pasti ialah emas. Bagi saya, saya hormat dengan keputusan dan perancangan pasukan apapun sasaran yang mereka letak nanti.

“Bagi saya, saya mahu lengkapkan perjalanan saya di Sukan Olimpik iaitu dari pingat gangsa, perak dan seterusnya emas di Paris 2024,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media di Velodrome Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

The Pocket Rocketman sentiasa dahagakan kejuaraan.

Katanya, sebagai atlet yang berada dalam Program Road to Gold (RTG), setiap atlet ke Paris perlu bekerja keras untuk memburu emas dan tidak melepaskan sandaran itu ke bahu sesetengah atlet sahaja.

Tegasnya, atlet yang terpilih sudah menandatangani perjanjian untuk berada dalam program emas negara itu dan perlu memikul tanggungjawab.

“Kalau tanya mengenai RTG, semua atlet adalah sandaran kerana itulah tujuan utama program ditubuhkan sebenarnya kerana semua atlet dapat elaun secara sama rata dan dapat servis tambahan apa yang mereka nak.

“Semua dalam RTG ini kena berikan terbaik kerana mereka dalam program ini bukan sekadar medal tetapi pingat emas.

“Bila kita sudah dalam program kita kena buat terbaiklah. Capai prestasi ataupun tidak itu cerita lain tetapi mereka kena beri 110 peratus dari latihan hinggalah di Olimpik.

“Jadi sasaran utama adalah emas. Tidak adillah kalau dalam RTG Itu hanya seorang diletakan sandaran untuk raih emas di Olimpik.

“Saya harap mereka ada mentaliti seorang juara. Menang atau tidak lain cerita,” katanya.