SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan pihaknya terpaksa mencari pasukan gantian bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 selepas Mynamar menarik diri.
Jelasnya, FAM menggantikan pasukan Myanmar kepada Brunei Darussalam selepas beberapa negara lain berdepan dengan kekangan pemain yang masih bermain di liga negara masing-masing serta terdapat beberapa pemain yang dikuarantin.
“Saya tak boleh nak maklumkan apa alasannya, tapi ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Kita ada cuba juga beberapa pasukan yang lain, tapi kekangan pemain di liga negara masing-masing termasuk pemain yang dikuarantin apabila pulang menyebabkan mereka tidak rela untuk menerima jemputan kami,” jelasnya kepada media selepas sidang media pengumuman pemain Harimau Malaya pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Saifuddin turut menyeru kepada semua pemain yang dipanggil supaya melaporkan diri meskipun berdepan kecederaan, melainkan berlakunya perkara kecemasan yang tidak dapat dielakkan.
“Saya mohon agar pemain hadir pada 19 haribulan di PJ Hilton walaupun tuan-tuan cedera atau ada masalah hadirkan diri dulu, baru jurulatih akan buat penilaian.
“Kita kena faham juga mereka ada masalah peribadi masing-masing dan ada yang bapanya meninggal pun datang juga, jadi kita tidak akan terburu-buru ambil tindakan.
“Pemain kena bagi 200 peratus, kerana ini adalah kalah mati, ibarat final,” tambahnya.
Dalam masa, Mohd Saifuddin memberitahu pihak FAM tidak akan terburu-buru untuk mengambil sebarang tindakan kepada para pemain kerana turut memahami masalah peribadi yang dialami pemain sebagai manusia biasa.
Malaysia dijadualkan bertemu Brunei Darussalam (27 Mei), Hong Kong (1 Jun ), Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh ( 14 Jun).