PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil pendekatan realistik pasukan negara untuk sekurang-kurangnya membawa pulang mata dalam kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Menurutnya, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berpeluang untuk mencatatkan keputusan positif ketika menentang Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E.

“Seperti saya dah katakan awal, setelah 40 tahun menanti ke Piala Asia, sekurang-kurangnya kita nak buat mata dan harapan kita tinggi. Kalau kita dapat melangkah ke Pusingan 16, ia satu bonus kepada kita. Pemain dengan pegawai telah sama-sama berjanji dengan saya untuk cuba melangkah jauh.

“Apa yang pentingnya, kita kalau boleh jangan balik dengan mata kosong ke Malaysia. Kita harap akan dapat membuat sesuatu keputusan yang baik nanti di perlawanan pertama menentang Jordan,” ujar Hamidin kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Latihan skuad Harimau Malaya di Doha, Qatar.

Mengikut ranking semasa, anak buah Pan-gon berada pada kedudukan terakhir dalam Kumpulan E (130), dan dilabel pasukan kerdil berbanding pesaing Jordan (86), Bahrain (87) dan juara edisi dua kali, Korea Selatan (23).

Bagaimanapun, Hamidin kekal optimis menaruh harapan Harimau Malaya dapat bersaing dan menunjukkan permainan bagus serta mendapat keputusan yang positif.

“Kita pun kena faham bahawa pasukan yang kita lawan ini Jordan, Bahrain dan semua jauh daripada kita, tapi dalam tempoh tahun lepas kita dapat bersaing dengan mereka dalam kategori ranking ini seperti China, Syria, Kyrgyzstan, Tajikistan dan India.

“Dan kalau kita nak pergi mampu lebih jauh, kita perlu bersaing dengan Jordan dengan Bahrain. Ini adalah testing ground untuk kita berada dalam landasan betul dan perlu konsisten dekat sini,” katanya.

Pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, Malaysia tewas kesemua tiga perlawanan dan di kritik hebat susulan prestasi longlai peringkat kumpulan.

Harimau Malaya akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada awal pagi Selasa (waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.