SELEPAS 11 tahun tidak beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), aksi Mohd Harrif Saleh dalam perlumbaan penyingkiran pada Khamis, seolah-olah melepas sebuah kerinduan malah menghadirkan ketagihan sehingga pelumba elit lebuhraya itu, menyuarakan kesediaannya untuk menabur bakti di trek, jika diperlukan.
Tambahan pula, dengan persiapan hanya kira-kira dua minggu, dia menyifatkan pencapaiannya yang menamatkan perlumbaan penyingkiran di kedudukan kelapan, daripada 15 pelumba.
“Sebenarnya, acara kegemaran saya adalah Scratch, tapi di kejohanan kebangsaan saya tidak memenanginya, saya menang dalam acara penyingkiran dan diberi peluang mewakili negara di ACC dalam acara ini, saya berpuas hati dengan pencapaian, not bad lah,” kata Harrif.

Harrif Saleh ketika berkayuh trek lebih 11 tahun lalu.
Tambahnya, dia masih mahu terus fokus kepada acara lebuhraya kerana sudah mempunyaia nama dalam acara itu, namun timbul perasaan untuk meneruskan kerjaya di trek juga: “Memang saya sendiri rasa kalau boleh nak kayuhlah, saya juga baru bercakap mengenai hal ini dengan Azizul (Datuk Azizulhasni Awang) dan dia pun menyokong saya untuk meneruskan kayuhan trek.
“Dia beritahu saya, sebagai pelumba lebuhraya, bermain di trek juga boleh membantu meningkatkan kekuatan kayuhan, untuk saya ‘cari power’.”
Pada usia 35 tahun, pelumba berasal dari Terengganu itu memberitahu, The Pocket Rocketman menasihatinya, selagi boleh melakukan kayuhan, teruskan dan tidak boleh mengikut kata-kata orang mengenai status umur.
“Asalkan kita meneruskan latihan, kekal bermotivasi, saya sendiri fikirkan tiada masalah,” kata Harrif yang masih menyimpan hasrat untuk muncul juara kebangsaan.

Harrif Saleh bersama TSG di Lebuhraya.
Kali terakhir Harrif beraksi di ACC 2012, dia meraih pingat gangsa dalam acara scratch.
Menurutnya, ketiadaan acara lebuhraya ketika ini, menjadi antara faktor dia menerima cadangan ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley, untuk beraksi kali ini.
Ketika ditanya mengenai kesediaannya jika dipilih mewakili negara ke Sukan Asia, Hangzhou, China September depan, Harrif berkata: “Saya sedia untuk terus membawa nama negara, tapi saya perlu mengutamakan pasukan saya (lebuhraya) iaitu TSG.
“Namun jika temasya itu bertembung dengan acara lebuhraya, saya rasa saya perlu bersama TSG.”