PEMAIN pertahanan Manchester United, Harry Maguire, telah dikenakan larangan memandu selama 56 hari oleh Mahkamah Majistret Bolton selepas didapati bersalah memandu melebihi had laju.
Maguire, yang juga pemain kebangsaan England, mengaku bersalah atas kesalahan tersebut selepas dia dirakam memandu pada kelajuan 85 batu sejam (mph) di zon had laju 50mph.
Kejadian berlaku pada bulan Mac lalu apabila Maguire memandu keluar dari terowong di bawah landasan Lapangan Terbang Manchester.
Sebagai hukuman, pemain berusia 30 tahun itu didenda £666 (RM3 ribu), diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak £120 (RM6 ratus), serta dikenakan surcaj sebanyak £266 (RM1 ribu).
Menurut laporan media antarabangsa, insiden ini adalah sebahagian daripada siri kesalahan lalu lintas Maguire.
Dua hari selepas kesalahan pertama, dia sekali lagi dirakam memandu laju pada kelajuan 68mph di kawasan had laju 60mph.
Untuk kesalahan tersebut, dia dikenakan denda tambahan sebanyak £1,000 (RM5 ribu) dan tiga mata penalti telah ditambah ke lesen memandunya.
Walaupun dilanda kontroversi ini, Maguire baru-baru ini menerima lanjutan kontrak selama 12 bulan bersama Manchester United, setelah kelab itu mengaktifkan klausa lanjutan dalam kontraknya.
Bagaimanapun, musim ini dianggap mencabar buat Maguire, dengan jurulatih Ruben Amorim menegaskan bahawa dia perlu meningkatkan peranannya sebagai pemimpin dalam pasukan.
Maguire dijangka tetap menjadi tonggak utama barisan pertahanan Manchester United apabila mereka bertemu Arsenal dalam saingan Piala FA pada 12 Januari ini.
Kes ini menambah lagi tekanan terhadap Maguire, yang sering menjadi perhatian bukan hanya kerana prestasi di atas padang tetapi juga kehidupan peribadinya.