BEBERAPA pemain akan di tempatkan di posisi berbeza dalam setiap perlawanan, di Siri Jelajah Belgium 27 September hingga 6 Oktober ini.
Jurulatih skuad hoki kebangsaan A.Arul Selvaraj berkata, dia mahu pemain yang cergas dan mempunyai kekuatan fizikal, di tempatkan di posisi yang memerlukan tenaga dan kerja keras pemain.
“Beberapa pemain muda dan sangat fit, saya nak gunakan fitness mereka dan memanfaatkannya di posisi terbaik yang memerlukan lebih banyak kerja,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika berlepas ke Belgium Jumaat malam.
Antara pemain yang disebut mempunyai fizikal dan kecergasan tinggi selain rajin di atas gelanggang termasuk Shello Silverius (penyerang), Muhammad Najib Abu Hassan (penyerang), Norsyafiq Sumantri (penyerang) dan Muhammad Syafiq Hassan (pertahanan).
Skuad senior kebangsaan, akan membuka saingan jelajah Belgium itu dengan perlawanan menentang Belgium “A”pada 27 September, diikuti perlawanan menentang skuad utama Belgium pada 28 September, dan dua perlawanan menentang Perancis pada 4 dan 5 Oktober, di Brussels.
Katanya, apa juga keputusan yang diperoleh pada empat perlawanan itu amat penting, apa lagi jika beroleh kemenangan.
“Walaupun ini perlawanan persahabatan dan tiada mata ranking ditawarkan, sebagai persediaan pasukan, kemenangan itu amat penting kerana dapat membina kepercayaan diri pemain serta pasukan. Sebab itu saya jadikan pengalaman di Eropah ini sebagai landasan ukuran kepada sasaran kecil Piala Sultan Azlan Shah November depan.

Jurulatih Hoki Kebangsaan A.Arul Selvaraj
“Apabila pulang dari Eropah dengan kemenangan, mereka boleh bermain dengan yakin di Piala Sultan Azlan Shah.
“Matlamatkan, mahu perbetulkan kelemahan pada Piala Asia lalu pada jelajah Eropah ini dan menyempurnakannya pada Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.
Tambahnya, perlawanan persahabatan menentang pasukan kuat seperti Belgium yang berada di ranking kedua dunia amat penting terutamanya skuad negara kekurangan perlawanan berkualiti dan mempunyai tempo tinggi.
“Kita oleh lihat bagaimana prestasi pemain di Piala Asia Mei lalu, prestasi mereka meningkat selepas menghadapi siri perlawanan persahabatan dengan Australia biarpun kita tewas semua tiga perlawanan.
“Pemain banyak belajar mengenai diri mereka, tempo dan tenaga perlawanan. Sebab itu pemain kita tampil bertenaga dan yakin di Piala Asia,” kata Arul lagi.
Pada siri perlawanan antarabangsa dengan Australia, skuad kebangsaan tewas 0-3, 0-7 dan 0-5.
Skuad kebangsaan ke Belgium tanpa kelibat penyerang prolifik Faizal Saari yang kini beraksi di Liga Utama Belanda.
Menurut Arul, dia tidak bimbang tanpa kehadiran Faizal kerana skuad mempunyai ramai pemain muda berbakat yang mempunyai ‘work rate’ tinggi dan tahu apa yang mereka mahukan dalam perlawanan persahabatan itu.