GRAND PRIX JEPUN bakal ditaja kembali oleh Honda yang juga pemilik Litar Suzuka yang dibina pada 1962 dan telah menganjurkan perlumbaan pertama pada 1987.
Honda secara rasmi tidak menyertai Formula Satu sebagai pembekal enjin pada penghujung tahun lalu. Bagaimanapun Red Bull dan Alpha Tauri terus menggunakan enjin yang dibekalkan oleh Honda Racing Corporation (HRC).
Sebelum ini Honda adalah penaja utama perlumbaan pada 2018 dengan kali terakhir Litar Suzuka berada dalam kalendar Formula Satu adalah pada 2019 sebelum dibatalkan akibat penularan pandemik Covid-19.
“Ianya satu penghormatan buat Honda untuk dinamakan sebagai penaja rasmi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka yang bakal menyambut ulang tahun ke-60 nya tahun ini.
“Dalam Grand Prix Jepun tahun ini, 10 pasukan termasuk Oracle Red Bull Racing dan Scuderia AlphaTauri yang disokong oleh Honda akan bertanding dengan 20 pemandu akan memperagakan skil pemanduan mereka dalam kemuncak sukan permotoran.
“Dengan menyumbang kepada Grand Prix yang hebat ini, Honda akan terus menyokong promosi dan akan membantu menjadikan sukan permotoran sebagai sukan yang popular di Jepun,” ,” kata Eksekutif Komunikasi Operasi Honda, Koji Watanabe
Pengeluar Jepun ini mengesahkan tidak lagi mengambil bahagian dalam Formula Satu pada 2020.
Red Bull telah merancang untuk menggunakan livery bertema Honda pada Grand Prix Jepun tahun itu tetapi selepas ianya dibatalkan mereka menggunakan livery itu pada Grand Prix Turki.
Max Verstappen muncul juara dunia pertama menggunakan enjin Honda sejak Ayrton Senna kali terakhir melakukannya pada tahun 1991.