DALAM usaha mewujudkan komuniti sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan jantung, Institut Jantung Negara (IJN) melaksanakan kempen gaya hidup dengan mengajak masyarakat membudayakan aktiviti sihat.

Justeru, institusi terbabit terus memainkan peranannya menerusi penganjuran IJN Ride 4 Your Heart, selepas lima tahun menyepi.

Edisi ketiga acara itu bakal menemui peminat sukan berbasikal di Kuala Terengganu 27 Mei ini, satu pengalaman baharu berbanding dua edisi lalu pada 2016 dan 2017 yang dianjurkan di Lembah Klang iaitu di Universiti Nottingham, Semenyih.

Selepas lima tahun tidak dianjurkan, IJN Ride 4 Your Heart kembali menemui peminat sukan berbasikal dengan menawarkan cabaran lebih menarik.

Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan/Pakar Perunding Kanan Bedah IJN, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata, Terengganu menjadi pilihan kerana pihaknya mahu memberi pengalaman bermakna kepada setiap peserta, selain memberi peluang kepada penggiat sukan berbasikal di Pantai Timur.

“Kita mempunyai usaha sama dengan UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin), kami mendapat maklum balas yang sangat positif apabila mahu menganjurkan acara berbasikal ini di Terengganu.

“Lagi pun IJN mempunyai reputasi yang besar dan IJN Ride juga sudah mempunyai jenamanya sendiri. Jadi apabila kami mula meuar-uarkan bahawa edisi kali ini akan berlangsung di Terengganu, sambutan diterima sangat bagus.

“Kami mensasarkan kira-kira 1,500 peserta mengambil bahagian dalam kayuhan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 30 kilometer (km) Fun Ride serta 88km dan 120km dan dua kategori ini menggunakan format perlumbaan,” katanya.

Laluan bagi kayuhan mengikut kategori 120km bermula dari Lapangan Terbang Sultan Mizan, melalui jalan pantai di Batu Rakit, Merang dan melalui Jalan Persekutuan di Bandar Permaisuri, Sungai Tong dan penamatnya di garisan permulaan.

Kategori kayuhan kedua pula sejauh 88km.

Kategori kayuhan 30km atau lebih dikenali sebagai Fun Ride, sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan berbasikal.

Tambah beliau, IJN aktif dalam penganjuran acara sukan termasuk larian, dalam usaha menekankan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit, menawarkan servis kepada pesakit jantung dan paru-paru.

“Sebenarnya selain berbasikal, IJN juga pernah menganjurkan acara sukan lain seperti larian. Tapi minat masyarakat kepada sukan berbasikal agak besar dan atas sebab itulah kami menganjurkan acara ini,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan laluan yang bukan ‘kaleng-kaleng’ kerana menawarkan pemandangan cantik namun tetap ada cabarannya.

Pada dua edisi lalu, IJN Ride dianjurkan di Semenyih.

“Rata-rata laluan adalah landai dan di tepi persisir pantai. Antara cabarannya adalah angin laut agak kuat.

“Salah satu sebab kami memilih lokasi di Terengganu kerana tidak ramai yang berpeluang untuk berkayuh di sana. Terengganu sentiasa melahirkan atlet berbasikal profesional. Jadi sekarang ini mereka yang bukan profesional juga berpeluang merasai pengalaman berkayuh di Terengganu,” katanya.

Justeru, Jeffrey berkata, usaha mempromosikan gaya hidup sihat oleh institusi terbabit membuatkan mereka membuka penyertaan IJN Ride kepada semua peringkat umur bermula daripada kanak-kanak sehingga veteran mengikut kesesuaian kategori yang ditawarkan.

Antara peserta yang berjaya menamatkan kayuhan pada edisi 2017.

“Sasaran utama adalah golongan dewasa yang ada pengalaman berkayuh. Tapi kami juga tahu ada orang yang kurang berpengalaman. Sebab itulah kami tawarkan kategori 30km Fun Ride,” katanya.

Yuran penyertaan untuk IJN Ride bermula RM50 sehingga RM150 mengikut kategori yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman weh www.gosportz.my dengan tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 April.