SEBUT sahaja sukan badminton, sudah tentu ramai mengenali nama-nama besar sukan badminton tanah air seperti Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Namun, jangan lupa atlet Para Badminton Kategori WH1 ( Wheelchair -Lemah Pinggang Ke Bawah) , Muhammad Ikhwan Ramli turut berada sekelompok dengan nama-nama besar tersebut kerana dia kini berada pada ranking pertama dunia untuk kategori (WH1).

Ikhwan atau lebih gemar disapa Kechik mendedahkan antara rahsia kejayaannya sehingga mampu menjadi antara pemain paling digeruni dalam Badminton Para Kategori (WH 1).

“Jangan berfikir kita ini ada kekurangan tetapi kita tidak boleh berjaya seperti orang lain. Pertama sekali perlu mencuba, selepas itu tanam dalam diri, kita hendak berjaya apabila melakukan sesuatu.

“Sampai satu tahap kita akan rasa macam kita ini tidak ada kekurangan. Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan untuk tidak boleh berjaya. Rezeki kita tidak tahu,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu! Kechik yang menghidap ‘Spina Bifida’ (kecacatan bahagian pinggang ke bawah) sejak kecil tampil mendedahkan bahawa pada mulanya dia lebih gemar bermain bola keranjang, namun keputusan tersebut dibuat pada saat akhir sewaktu dia yakin bahawa dia memiliki peluang yang lebih baik jika beraksi sebagai pemain badminton.

“Minat itu memang dari kecil sebab kita tidak tahu sebab Sukan Para tidak meluas lagi. Lepas itu, tahun 2014, saya mula belajar di Bangi. Mula dari situlah, saya mula tampilkan diri ingin menjadi seorang atlet.

“Mula mula, saya melibatkan diri dalam bola keranjang kerusi roda. Tapi dalam bola keranjang ini agak sukar sedikit kerana terlampau banyak persaingan untuk menempa nama.

“Jadi, saya beralih kepada badminton. Masa itu saya sudah duduk di Kompleks Sukan Kampung Pandan. Jadi, mula berlatih pun daripada situ jugalah. Saya bukan dari peringkat negeri. Mula bermain badminton pada 2016.

“Mula-mula hanya sebagai part-time. Masa latihan pun bukan full time terus. Kita buat latihan dalam 9 bulan jugalah. Lepas itu, jurulatih tawarkan kontrak untuk jadi pemain tetap setelah melihat ada potensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Di sebalik kejayaannya, dia mengidolakan bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemangkin hasratnya untuk turut mengharumkan nama negara.

“Idola itu memang daripada dulu sebab kita memang sudah kenal Datuk Lee Chong Wei. Kita tumpang gembira atas jasanya untuk sukan negara,” jelasnya.

Ikhwan akan memulakan aksi di  Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo pada 1 November serta yakin dapat mengekalkan prestasinya berbekalkan latihan intensif dan mencukupi yang dijalaninya sebelum menghadapi saingan tersebut.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Terengganu itu merangkul emas perseorangan Thailand Para Badminton International,  4 Nations Para Badminton International (pingat perak perseorangan dan emas beregu ), 4th Fazza Dubai Para Badminton International (perseorangan pingat perak, beregu pingat perak), Bahrain Para Badminton International (Perseorangan perak beregu gangsa), IBERDROLA Spanish Para Badminton International (Perseorangan emas, beregu pingat perak), Spanish Para Badminton International Il(Perseorangan emas beregu perak) dan Asian Para Game 2022 solo (Perseorangan emas beregu emas).